AS Tuduh Arab Saudi, Bahrain Sekat Hak Beragama

WASHINGTON – Sekutu Amerika Syarikat (AS) termasuk Arab Saudi dan Bahrain didakwa tidak mengamalkan prinsip kebebasan beragama pada 2016, kata Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson.

Menurut Reuters, beliau turut mendakwa militan Daesh melancarkan pembunuhan beramai-ramai ke atas golongan minoriti.

Katanya, Arab Saudi perlu mengambil pendekatan lebih baik mengenai tahap kebebasan beragama bagi rakyatnya, lapor BH.

Beliau merujuk hukuman jenayah ke atas penduduk yang murtad, ateis dan menghina agama, termasuk menghina pendekatan Islam diambil negara itu, selain serangan dan diskriminasi terhadap minoriti Syiah.

Laporan menyatakan Arab Saudi menggunakan undang-undang antikeganasan untuk menyasarkan golongan ateis dan Syiah.

AS dan Arab Saudi sudah lama bekerjasama dalam kempen memerangi keganasan dan Riyadh menjadi persinggahan pertama Trump ketika melakukan lawatan ke luar negara sejak memegang jawatan itu.

Tillerson turut mendesak Bahrain berhenti mendiskriminasi golongan Syiah.

Tillerson membuat komen itu di Jabatan Negara ketika membentangkan laporan tahunan agensi itu mengenai kebebasan beragama, seperti dituntut Akta Kongres 1998.

Laporan berkenaan adalah yang pertama disiarkan ketika pentadbiran Presiden Donald Trump dan meliputi seluruh tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *