Polo Air Lelaki Akhiri Penantian 12 Tahun Pingat Di Sukan SEA 

KUALA LUMPUR – Skuad polo air lelaki di landasan tepat untuk mengakhiri penantian 12 tahun pingat di Sukan SEA apabila mencatat kemenangan pertama pada temasya Kuala Lumpur 2017, menewaskan Filipina 8-7 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini, lapor BH.

Fam Jia Yi adalah tonggak buat skuad negara apabila melakukan hatrik dalam perlawanan itu, manakala gol lain dicetak menerusi Tan Yi Xun, Toh Yi Xiang, Irshad Syahir dan Soh Yong Wee.

Malaysia yang ditundukkan Indonesia 3-4 semalam, selepas ini perlu menewaskan Thailand, yang turut kecundang 13-2 kepada juara bertahan Singapura, bagi memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Jurulatih kebangsaan, Voon Yong Hui berkata anak buahnya sudah mengkaji teknik permainan Thailand dan yakin mampu menewaskan pemenang pingat perak di Singapura 2015 itu.

“Thailand mempunyai pemain muda yang bagus. Saya sudah mengingatkan pemain kita supaya tenang dan bermain mengikut arahan apabila berjumpa Thailand Jumaat ini,” kata Yong Hui.

“Kita sudah melihat rakaman video permainan terbaru Thailand. Mereka cukup cergas dan saya jangkakan mereka akan mengasak sebaik perlawanan bermula.

“Namun kami mempunyai strategi untuk mengimbangi kekuatan mereka.

“Ini adalah misi hidup-mati kerana jika tewas, kita akan gagal memenangi sebarang pingat. Perlawanan terakhir ialah berdepan Singapura dan mereka terlalu handal buat pasukan kita.”

Mengenai kejayaan menewaskan Filipina, Yong Hui berkata ia adalah saingan cukup sengit selepas lawan itu mempamerkan peningkatan mendadak sejak beberapa tahun lalu.

“Kami mendahului 4-1 selepas suku kedua, tetapi mereka masih mampu merapatkan jurang. Nasib menyebelahi kita dan kemenangan ini menyuntik semangat pasukan,” katanya.

Dalam acara wanita, Malaysia menanggung kekalahan kedua berturut-turut apabila tunduk kepada Singapura.

Anak buah Goh Kah Yi yang dibelasah juara bertahan Thailand 22-2 semalam, perlu menundukkan Indonesia Sabtu ini untuk memenangi pingat gangsa.

Dalam satu lagi perlawanan, Thailand terus di landasan baik mempertahankan emas apabila mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Indonesia, 12-4.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *