Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam Ada Potensi Jadi Iskandar Johor

ALOR SETAR – Kawasan Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam sekiranya direalisasikan kelak, berpotensi menjadi seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (BPI) di Johor, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, ia berikutan kedudukan kawasan itu yang menjadi pintu masuk utama utara Semenanjung dan merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) yang mahu tahu persediaan kerajaan negeri untuk menghadapi pelbagai kemungkinan berikutan ketika ini terdapat perancangan beberapa projek mega di kawasan itu.

Kawasan bebas cukai itu seluas 4,763 hektar, dengan 2,870 hektar daripadanya dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan selebihnya Northern Gateway Sdn Bhd.

Mengikut perancangan, antara komponen dalam kawasan itu ialah zon industri, perumahan mampu milik dan mewah, kompleks beli belah, taman rekreasi dan pusat pendidikan yang dilihat akan mampu memberi pelbagai limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan itu selain lebih 5,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, akan mempertimbangkan penubuhan satu badan yang akan menguruskan kawasan itu secara lebih teratur dan sistematik, sesuai dengan status kawasan itu yang ketika ini rancak dengan perancangan beberapa projek mega lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *