Kematangan Muzik Najwa Latiff

ENAM tahun memahat nama dalam dunia seni, perjalanan yang ditempuh banyak mengajarnya erti kehidupan. Tidak menjadikan setiap cabaran sebagai pematah semangat, dia meneruskan langkah dengan penuh gaya.

Empunya nama pentas, Najwa Latif ini punya impian tersendiri. Memulakan langkah seni secara tiba-tiba apabila lagu Cinta Muka Buku menjadi tular suatu ketika dahulu dan sehingga kini dia masih bertahan.

 

Diaju soalan apakah rahsia dia kekal sehingga sekarang, Najwa dengan santun menjawab, dia sentiasa mengetengahkan bakatnya sebagai penyanyi yang jauh daripada kancah kontroversi.

Sememangnya jika diselak lembaran seninya, jarang sekali nama gadis berusia 22 tahun ini terpalit kisah-kisah sensasi. Dia lebih senang menjual kisah kerjaya berbanding peribadi.

“Kalau boleh memang saya tak mahu kisah-kisah peribadi dijual untuk mencipta kontroversi murahan. Sejak saya mula menyertai industri, ayah sudah pesan supaya jaga nama keluarga dan yang paling penting, nama diri sendiri.

“Publisiti itu memang sangat penting tapi saya percaya dengan rezeki. Alhamdulillah, saya masih bertahan dan mampu mengeluarkan lagu baharu saban tahun tanpa kontroversi,” katanya yang baru sahaja tamat pengajian di peringkat Sarjana Muda baru-baru ini.

Mengakui popularitinya kini agak merudum, Najwa langsung tidak terkesan. Yang paling penting baginya adalah peminat menerima karya-karyanya. Tak kenal dia tidak mengapa, asal tahu lagunya.

Prinsip Najwa mudah, bakat yang dipersembah bukan untuk meraih populariti semata-mata. Dia sudah merasai impak populariti suatu ketika dahulu apabila lagunya sering kali menjuarai carta.

“Kalau dulu mungkin kita mahu dikenali, mahu popular. Tetapi bagi saya sekarang, cukup sekadar orang dengar dan terima lagu saya, itu pun sudah menggembirakan hati.

“Memang populariti penting bagi kelangsungan kerjaya seni. Itu saya tak dapat nafikan. Cuma saya sudah ada kelompok peminat yang sentiasa menyokong dan 
menerima muzik saya,” katanya.

Selesa beri motivasi dan inspirasi

Tampil dengan single baharu, Untuk Kamu ciptaan Najwa dan lirik oleh kakaknya, Ika Latif, penyanyi muda ini selesa untuk bekerjasama dengan kakaknya menerusi beberapa lagu sebelum ini.

“Saya selesa dengan kakak sebagai penulis lirik tetapi itu tidak bermakna saya menolak untuk menerima idea dan lagu daripada komposer lain. Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan beberapa komposer lain juga,” katanya.

Ditanya mengapa dia kini lebih selesa dengan lagu-lagu yang berbentuk motivasi, seraya tersenyum Najwa mengungkapkan kata-kata yang dia mahu memberi inspirasi kepada generasi muda.

Di benak fikirannya, tugas sebagai penyanyi bukan sahaja sekadar menghibur namun lebih besar daripada itu. Setiap lirik yang diungkapkan mempunyai maksud yang boleh memberi inspirasi kepada jiwa sesiapa yang mendengar.

“Sebenarnya saya juga ada lagu-lagu yang lebih menjurus kepada percintaan tetapi sekarang saya lebih selesa untuk menyanyikan lagu yang memberi aura positif kepada pendengar.

“Semakin umur meningkat dewasa, saya sedar yang lirik-lirik positif memberi impak kepada pendengar. Tetapi tidak bermakna saya menolak untuk menyanyikan lagu-lagu cinta,” katanya.

Bakal melancarkan album penuh selewat-lewatnya tahun ini, Najwa merasakan kehadiran album fizikal sememangnya penting untuk dia melihat kematangannya sebagai seorang penyanyi.

“Album ini bakal membariskan 10 buah lagu dan semua lagu tersebut merupakan single-single saya sebelum ini. Jadi saya himpunkan semua dalam satu album. Soal boleh jual atau tidak, saya tolak tepi.

“Menerusi album ini, saya dapat lihat kematangan muzik selama enam tahun dalam industri. Sebab itu, saya himpunkan semua lagu yang pernah popular.” katanya.-UtusanOnline

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *