Izreen Sudi Bantu Pelakon ‘Kayu’

Sejak bergelar ibu tunggal, pelakon popular Izreen Azminda akui dia memang bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat masa depan anaknya, Muhammad Adrian Umar, 4.

Jika dulu, dia terima apa saja watak ditawarkan dalam lakonan demi periuk nasinya untuk menyara keluarga.

Namun, pada usia mencecah 32 tahun, Izreen sudah boleh lebih selektif dari segi watak ditawarkan.

“Sepanjang terbabit dalam lakonan, semua watak sudah dilakonkan. Bermula antagonis, baik sehinggalah komedi.

“Saya juga perlu selektif untuk menjaga kualiti lakonan sedia ada.

“Sebelum terima tawaran berlakon, saya akan baca sinopsis dulu dan memahami watak terlebih dulu,” katanya.

Mengenai gandingan dengan hero baru pula, Izreen akui dia tidak memilih untuk digandingkan dalam drama.

“Ketika mula berlakon dulu pun, saya juga menanti peluang untuk bergandingan dengan pelakon ‘senior’.

“Oleh itu, saya tidak ada masalah digandingkan dengan mana-mana pelakon baru.

“Kalau pelakon baru itu berlakon seperti ‘kayu’ di lokasi pun saya tiada masalah dan boleh membantunya sedikit sebanyak untuk memperbaiki lakonan dan memudahkan kerja,” katanya berterus terang.

Izreen berkata, dia juga meletakkan syarat tertentu kepada penerbit sebelum menerima sesuatu projek lakonan ketika ini.

“Saya juga membataskan waktu penggambaran di set sehingga jam 12 tengah malam saja.

“Selain itu, saya juga menolak projek drama yang memerlukan saya ‘out station’ kerana tidak mahu berjauhan dengan anak.

“Sebelum ini, saya terlalu sibuk bekerja sehingga terlepas saat indah melihat dia membesar depan mata.

“Maklumlah, bekas suami juga sibuk bekerja di lokasi dan dia juga tidak dapat selalu bersama anak,” katanya.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera, Muhamad Riza Baharudin pada 2012 dan rumah tangga mereka berakhir pada 2014.

Izreen ditemui pada majlis memperkenalkan duta produk pencuci lelaki dan perempuan Durro & Poora keluaran DBI Healthy & Beauty di DBI Studio, Dataran Palma, Ampang, baru-baru ini.

Mengenai projek drama baru pula, kata pelakon filem Blok 404 ini, dia juga hanya fokus satu projek drama dalam satu masa.

“Saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri 13 episod untuk stesen RTM pada awal September nanti.

“Dalam drama bersiri ini, saya bergandingan dengan Zamarul Hisyam selaku teraju utama,” katanya.

Fokus sebagai duta produk

Selain berlakon, Izreen juga sibuk memberi komitmen selaku duta produk kesihatan sekali gus mengukuhkan ekonominya.

Kata pelakon kelahiran Kangar, Perlis ini dia bangga diberi kepercayaan selaku duta produk pencuci wanita Poora.

“Saya terima tawaran menjadi duta produk ini selepas mencubanya dalam tempoh sebulan. Ia juga produk keluaran orang Melayu.

“Saya tidak malu menjadi duta produk pencuci dalaman wanita kerana ia bukan saja membersih tetapi mampu memberi kebaikan untuk kesihatan,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *