‘Bukan Luahan Rasa Untuk Wany Hasrita’ – Tajul

KUALA LUMPUR: Meskipun dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan Wany Hasrita, Tajul Arif tegas menafikan single terbaharunya, Melamar Rindu, sebagai luahan hatinya terhadap penyanyi Menahan Rindu itu.

Tajul, 19, berkata judul lagu yang meraih lebih sejuta tontonan di YouTube itu dipilih pengurusnya secara kebetulan dan ia tiada kena mengena dengan Wany.

“Saya hanya mengikut strategi pengurusan. Ia sekadar lagu dan bukan luahan hati saya kepada sesiapa, terutama Wany.

“Kebetulan judul lagu itu dilihat mempunyai persamaan dengan Menahan Rindu hingga ramai membuat andaian ia ditujukan untuk Wany.

“Sebagai penyanyi, saya hanya menjalankan tugas membawakan lagu itu seperti diminta dan ia bukan mewakili perasaan saya,” katanya.

Lagu balada ciptaan Harry Khalifah itu sudah meraih tontonan lebih 1.12 juta tontonan sejak dimuat naik ke laman YouTube seminggu lalu.

Ditanya mengenai gosip hubungan istimewanya dengan Wany, Tajul pantas menepis dakwaan itu.

Baginya, mereka hanya rapat sebagai kawan kerana bernaung di bawah pengurusan yang sama.

“Mungkin kerana kami rapat, jadi ramai yang beranggapan sedemikian sedangkan perasaan itu tidak timbul.

“Wany hanya rakan sekerja dan hubungan kami belum sampai ke tahap bercinta. Soal jodoh, ia tidak akan ke mana,” katanya.

Mengulas pencapaian pantas lagu itu, Tajul bersyukur kerana sokongan berterusan yang diterima membuatkan single kedua selepas Sedalam Dalam Rindu menjadi tular dan meraih tontonan di luar jangkaan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *