‘Saya Akan Lawan Semua Orang, Jadi Juara Dunia’ -Chong Wei

“Saya akan lawan semua orang untuk bergelar juara dunia,” tegas jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dalam misinya menghadapi Kejohanan Badminton Dunia 2017 di Glasgow, Scotland kira-kira dua minggu lagi.

Kejohanan itu mungkin pentas terakhir bagi Chong Wei memburu gelaran juara dunia buat kali pertama selepas bergelar naib juara pada tiga edisi terdahulu.

Olimpian berusia 35 tahun itu berdepan laluan sukar apabila dijangka membuat perhitungan de­ngan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Chen Long pada pusingan suku akhir berdasarkan undian kejohanan tersebut semalam.

Chong Wei yang merupakan pemain No. 2 dunia terlebih dahulu berentap dengan seorang lagi pemain China, Tian Houwei pada pusingan ketiga sebelum menentang musuh tradisi, Lin Dan di pentas final.

Mengulas perkemba­ngan tersebut, Chong Wei berkata, dia perlu berdepan dengan semua pemain terbaik sekiranya mahu mengukir sejarah di pentas kejohanan dunia.

“Bagi saya, undian tersebut seimbang. Mungkin ramai yang menjangkakan saya berdepan Chen Long lebih awal tetapi saya perlu berlawan dengan semua orang jika mahu menang.

“Saya tidak rugi apa-apa dengan undian semalam (kelmarin) kerana saya gagal (pada pusingan akhir) beberapa kali sebelum ini. Saya mahu membuktikan bahawa saya boleh memenangi gelaran berprestij tersebut.

“Memang ada beberapa pemain China akan berentap pada acara perseorangan lelaki. Saya sedar berdepan cabaran sukar berbanding Sukan Olimpik hanya ada dua orang pemain China yang layak.

“Saya tidak kisah, jika mahu menang saya perlu hadapi mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis perhimpunan bulanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam, lapor Kosmo.

Sebelum kejohanan mem­buka tirainya pada 21 hingga 27 Ogos ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu menga­kui dia perlu bertenang dan mempersiapkan diri dengan lebih awal sebelum bertolak ke Glasgow minggu depan.

“Ketika ini saya perlu bertenang, jaga kesihatan serta pemakanan dan rehat yang mencukupi,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *