Salleh Ingatkan Mahathir Mengenai `Malu’

Tun Dr. Mahathir perlu ingat semula mengenai episod yang berlaku semasa 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri terutama pelaburan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan skandal Perwaja Steel. Maka seharusnya beliau berasa malu dengan perkara itu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam tulisannya di dalam blognya bagi mengingatkan Mahathir mengenai kerugian yang dialami oleh negara semasa era pentadbirannya itu.

“Tidakkah Tun (Mahathir) ingat pelaburan berisiko BMF di Hong Kong? Tidakkah Tun ingat kerugian Maminco dalam mengawal harga timah? Tidakkah Tun ingat kerugian ditanggung oleh Perwaja Steel, tidakkah Tun ingat skandal forex?

“Apa yang berlaku kepada semua firma dan pelaburan ini? Jika Tun ingat perkara ini, adakah dia juga akan berasa malu?” Soal Salleh.

Dalam tulisannya minggu lepas, Mahathir berkata perasaan malu sudah tidak ada lagi di kalangan ramai anggota kerajaan hari ini. Beliau berkara mereka didapati mencuri tetapi mereka tidak sedikit pun berasa malu.

Salleh yang menyifatkan tuduhan itu sebagai serius berkata, Mahathir memberi gambaran bahawa pentadbirannya tidak pernah tercemar daripada sebarang skandal.

“Baca buku oleh Khoo Boo Teik, ‘Paradoxes of Mahathirism: Biografi Intelektual Mahathir Mohamad’ (1995) dan John Hilley, ‘Malaysia: Mahathirism, Hegemony and New Opposition’ (2001). Juga baca buku oleh DK Mauzy, GP Means, Harold Crouch, William Case, KS Jomo dan ET Gomez.

“Kajian mereka boleh diringkaskan seperti ini – Tun mentadbir dengan prinsip Machiavellian, serta mengamalkan kronisme dan nepotisme,” katanya.

Justeru kata, Salleh, Mahathir jangan jadi seperti pepatah Melayu “bagai ketam menguruh anaknya berjalan dengan betul”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *