PAS Akhirnya Akui Pelan Rasionalisasi 1MDB Boleh Berjaya

Akhirnya selepas mendengar sendiri taklimat yang diberikan oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diketuai oleh presidennya, Arul Kanda Kandasamy kelmarin, PAS mengakui dan yakin dengan pelan rasionalisasi yang dilakukan oleh syarikat berkenaan dan kerajaan.

Ia diakui oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menzahirkan keyakinan terhadap pelan rasionalisasi terbabit dan bagaimana usaha memulihkan 1MDB dilakukan mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Kami juga percaya syarikat pelaburan itu mampu dipulihkan sekiranya tiada campur tangan pihak yang cuba mengganggu pelan pemulihan yang sedang dijalankan,” kata Tuan Ibrahim kepada Utusan Malaysia selepas sesi meja bulat yang diadakan di Hotel de Palma Ampang.

Turut hadir pada sidang meja bulat itu ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa pensyarah ekonomi dan penganalisis pasaran.

Selepas sesi taklimat itu, PAS telah berpuas hati terhadap usaha yang dibuat oleh syarikat berkenaan dan melihat bebanan hutang yang ditanggung 1MDB dapat diselesaikan mengikut pelan yang disusun.

Sebelum ini, di kalangan pemimpin PAS, Tuan Ibrahim paling vokal dalam isu melibatkan 1MDB dan sering membangkitkan mengenainya.

Malah beliau pernah meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI untuk menyiasat isu 1MDB.

Nampaknya PAS kini semakin matang dan ia dapat dilihat selepas parti itu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan. Jika tidak tindak-tanduk PAS sebelum ini banyak dibayangi oleh Pakatan Harapan terutamanya DAP.

Ketika pemimpin Pakatan Harapan mengecam 1MDB, ternyata PAS mengambil jalan berbeza dengan memberikan kepercayaan kepada 1MDB untuk melakukan pemulihan tersebut.

Berbeza dengan Pakatan Harapan, 1MDB merupakan bahan kempen utama mereka untuk memburukkan kerajaan.

Mereka terus menjadikan ia sebagai satu isu meskipun siasatan telah dijalankan terhadap 1MDB oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Malangnya 1MDB terus dijadikan sebagai isu. Dengan perkembangan terkini ini, PAS nyata telah menunjukkan kematangan sebenar dalam berpolitik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *