Didi & Friends, Bahan Bacaan Kanak-Kanak Pertama Guna Aplikasi 3D (AR)

SERDANG – Buku Cerita Bergambar Didi & Friends, terbitan Kumpulan Media Karangkraf adalah bahan bacaan kanak-kanak pertama di Malaysia yang menggunakan aplikasi 3D Augmented Reality (AR).

Pengarah Eksekutif (Penerbitan Buku dan Majalah) Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, sebanyak 10 siri buku cerita itu diterbitkan berperingkat tahun ini.

“Setakat ini, kita dah hasilkan empat siri, antaranya Mon ke Sekolah & Main dengan Bingo, Hari Sukan & Lembu Pak Atan dan sebagainya. Buku ini dijual dengan harga RM15 senaskhah.

“Pembeli buku hanya perlu memuat naik aplikasi Didi Play Book di telefon pintar untuk melihat hasil 3D di setiap muka surat buku ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Cerita Bergambar 3D AR Didi & Friends di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeos), semalam.

Beliau berkata, idea menghasilkan buku itu tercetus selepas mengikuti minat kanak-kanak yang lebih kepada perkara interaktif.

“Selain dapat menonton animasi ini di skrin televisyen, kanak-kanak juga boleh mengetahui kisah sama dalam bentuk buku.

“Usaha ini juga sekali gus dapat memupuk budaya dan minat membaca kanak-kanak. Buku ini boleh didapati di kedai buku berhampiran atau kunjungi reruai kami di Pesta Kanak-kanak Islamik Malaysia (MICF) 2017 yang berlangsung sehingga Ahad ini,” katanya.

Pada majlis sama, acara lain yang turut diadakan ialah pelancaran siri animasi Cerita-cerita Didi & Friends yang akan disiarkan menerusi saluran Astro Ceria mulai 14 Ogos ini.

Pengasas Digital Durian, Sinan Ismail berkata, 39 episod kisah-kisah yang akan dipaparkan adalah berkesinambungan lagu-lagu yang disiarkan sebelum ini.

“Didi & Friends bermula daripada lagu-lagu, contohnya seperti Papaku Pulang dari Kota, Pulau Hokey Pokey dan sebagainya.

“Kanak-kanak sudah familiar dengan lagu-lagi ini dan bila ia disampaikan dalam bentuk cerita, tentu jadi lebih menarik,” katanya.

Selain memberikan hiburan, pihaknya juga sentiasa memastikan kandungan yang ada dalam setiap siri bukan hanya memberikan hiburan semata-mata, malah diselitkan mesej dan pengajaran berguna buat penontonnya.

“Siri animasi ini boleh dikatakan sesuatu yang menghiburkan, selamat dan memberi didikan kepada kanak-kanak.

“Kami turut buat rujukan kepada pihak-pihak yang pakar dengan kanak-kanak bagi memastikan setiap kandungannya bersesuaian dan bermanfaat,” katanya.

Siri animasi itu akan disiarkan setiap hari jam 8 pagi dan 3 petang di saluran 611.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *