Watak Komedi Bayangi Bakat Sharifah Sakinah

KUALA LUMPUR: Pernah dua tahun berturut-turut menjulang trofi Artis Lawak Wanita Paling Popular Anugerah Warna, Sharifah Sakinah mengakui, pengiktirafan itu membayangi langkahnya apabila berterusan dilabel sebagai pelakon komedi.

Sebagai pelakon, Sakinah berminat untuk mempelbagaikan karakter, malah percubaannya membawa watak serius dalam drama Redhaku Untukmu arahan Dira Abu Zahar berhasil apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Kasih Tribute P Ramlee 2016.

Begitu juga pembabitannya dalam filem berat, Pekak turut melayakkan Sakinah berada dalam senarai Top 5 ketika kemuncak The ASEAN International Film Festival And Awards (AIFFA) 2017 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, pada Mei lalu.

“Saya masih mahu membawakan watak serius, malah sehingga ini, tawaran untuk karakter berat tetap diterima. Cuma, penonton tidak begitu nampak apabila saya berlakon watak serius membuatkan ramai beranggapan, saya lebih selesa membintangi produksi komedi.

“Saya tidak nampak diri ini lucu dan ramai pelakon lain yang mampu membawa watak komedi jauh lebih baik. Saya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi, cukup jika pengarah dan produksi mempercayai bakat serta komitmen kerja yang ditunjukkan.

“Mungkin dulu, saya perlu bekerja keras untuk menarik perhatian penonton supaya melihat bakat saya tetapi sekarang, tidak perlu lagi saya melakukan perkara yang sama,” katanya.

Ibu kepada Anais Adha ini berkata, dia juga tidak terlalu selektif dalam mencari watak kerana pendirian itu tidak akan membawanya ke mana-mana.

“Terserah kepada pelakon untuk memilih karya yang akan dijayakan. Dalam hal ini, kita perlu bertolak-ansur dan jangan menyombong. Lagipun, industri hiburan tempatan tidak besar mana. Sesekali, saya akan membantu kawan-kawan menjayakan produksi mereka,” katanya.

Sakinah berkata, mengikut perancangan asal, dia akan memulakan penggambaran filem Lekir di Melaka, memegang watak wanita dari Indonesia tetapi ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, Sakinah akan kembali ke lokasi penggambaran drama Girlfriend Dari Neraka 2, bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza pada bulan depan.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *