Status Twitter Najib Sindir PKR?

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terus bergurau di laman twitternya dengan memuat naik status yang dilihat seakan-akan sindiran buat PKR.

“Bermula esok (semalam), perjalanan untuk melawat kenalan di Sungai Buloh dari Kajang akan menjadi lebih mudah dan selesa! #JomNaikMRT,” tulis beliau malam tadi.

Hari ini, Najib melancarkan fasa kedua laluan Transit Aliran Massa (MRT), menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang.

Status itu dikatakan sindiran halus yang ditujukan kepada PKR.

Terdahulu, Najib turut memuat naik status yang dilihat turut menyindir PKR berkaitan Langkah Kajang.

“Langkah Kajang sebenar. Datang kepada anda dalam tujuh hari,” tulisnya pada gambar papan tanda stesen MRT Kajang.

Langkah Kajang merupakan ungkapan yang digunakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 bagi memastikan penyandang jawatan Menteri Besar ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan dari kedudukan pentadbiran kerajaan negeri.

Bermula jam 4.00 petang ini, perkhidmatan MRT laluan kedua antara Kajang dan Sungai Buloh sudah boleh digunakan oleh orang awam.

Ini sejajar dengan sasaran tingkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2030 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Perkhidmatan MRT dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik dengan sasaran penurunan 160,000 kenderaan memasuki ibu kota setiap hari.

Jajaran keseluruhan laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) melibatkan 51 kilometer merentasi 31 stesen.

Ia termasuk tujuh stesen bawah tanah, dengan integrasi laluan LRT di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran ini turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM Komuter dan ERL di stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *