‘Saya Kesal Kunjungan Ke Kelantan Dipolitikkan’ – Awie

“Saya kesal apabila kunjungan saya ke negeri Kelantan baru-baru ini dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggunakan tiket Awie untuk popular!,”kata Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, yang kesal dirinya menjadi kontroversi apabila muncul dalam satu program di Kota Bharu, Kelantan minggu lalu.

Kisah Awie membuat persembahan di negeri serambi Mekah itu tular di laman sosial apabila bekas ahli dan bekas peguam PAS, Hanipa Maidin menyindir kerajaan negeri Kelantan berhubung isu itu.

Malah konsert mini Awie itu juga dikritik kerana adanya percampuran penonton dalam kalangan lelaki dan wanita.

Penyanyi itu bagaimanapun menjelaskan kedatangannya ke Kelantan kerana jemputan untuk menjayakan Kelantan International Bike Week (KIBW) selain melawat maahad tahfiz di negeri itu tanpa ada agenda lain.

“Ingin saya jelaskan di sini kami ke sana untuk memberikan sumbangan kepada sebuah maahad tahfiz, kemudian saya menjadi ikon KIBW dan penganjur meminta saya berucap. Ketika itu saya bercakap benda yang elok-elok saja.

“Isu dibangkitkan apabila kami terlibat dalam pertandingan memakai serban dan ada antara gambar kami (bikers) meletakkan serban itu di leher disebarkan dengan niat tidak baik. Mereka sifatkan kami tak layak memakai serban itu.

“Apapun, saya bersedia sekiranya dipanggil semula ke Kelantan untuk menjawab semula segala permasalahan dan menceritakan perkara sebenar,” katanya, seperti lapor sebuah portal.

Awie mewakili kelab motosikal Wings Motor Gangs Society (WMGS) terlibat dalam program yang dimuatkan sempena Kelantan International Bike Week 2017 yang berakhir Sabtu lalu.

Sempena acara yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS, Awie sempat mendendangkan empat buah lagu di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu selain berkunjung ke Maahad Tahfiz Darul Ulum di Kampung Meranti, Pasir Mas.

Kali terakhir penyanyi popular itu menjejakkan kaki di Kelantan adalah pada 26 tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *