GM Klang Dijangka Jadi Pusat Pemborong Sehenti Paling Komprehensif Di Asia Tenggara Dalam Masa 5 Tahun Akan Datang

KLANG 16 Julai – GM Klang di Taman Botanic di sini, bakal menjadi pusat pemborong sehenti paling komprehensif di Asia Tenggara dalam masa lima tahun akan datang.

Pengarah Urusan Gamuda GM Klang Sdn. Bhd., Datuk Lim Seng Kok berkata, sasaran itu dibuat berikutan kebanyakan pengunjung yang hadir bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia tetapi juga dari Singapura dan Thailand.

Katanya, setakat ini jumlah pengunjung yang hadir ke GM Klang mencecah kira-kira empat juta orang dengan anggaran keuntungan RM2 bilion setahun.

“Biasanya seramai 10,000 orang akan hadir ke GM Klang setiap bulan untuk membeli pelbagai keperluan sama ada pakaian, langsir atau kelengkap­an majlis perkahwinan.

“Namun, jumlah pengunjung mencatat peningkatan pada hari perayaan kerana mereka akan membeli ke­perluan untuk seluruh kelu­ar­ga.

“Kami mahu GM Klang menjadi lambang pusat pemborong di Malaysia dan bagi mempromosikan barangan buatan Malaysia kami telah menyediakan satu tingkat khas yang menjual barangan muatan negara ini sahaja,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas majlis Rioooh Raya GM Klang 2017 anjuran GM Klang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang turut dihadiri Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Seng Kok berkata, setakat ini GM Klang mempunyai 2,500 unit kedai di tiga blok dan daripada jumlah tersebut 1,800 telah dipenuhi kira-kira 700 peniaga.

“GM Klang bermula dengan hanya satu blok setingkat pada 2009 menempatkan kira-kira 300 unit kedai sahaja, membuka blok kedua pada November 2012.

“Penerimaan yang baik daripada pengunjung ini telah membantu kami membina blok ketiga dengan 12 tingkat termasuk lima tingkat untuk kawasan letak kereta. Malah, kami juga bakal membuka cawangan ketiga pusat pemborong GM dikenali sebagai GM Bukit Bintang di Jalan Pudu, tahun depan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *