Erdogan Ikrar Terus Lawan Dalang Disebalik Cubaan Jatuhkan Kerajaan

“Jika Turki diserang sekali lagi walaupun esok, rakyat negara ini pasti bangkit memastikan mereka (pemberontak) jatuh melutut,” kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di hadapan ratusan ribu rakyat Turki yang berhimpun di Dataran Parlimen di Ankara awal pagi semalam.

Perhimpunan yang turut diadakan di beberapa bandar utama Turki seperti Istanbul itu bagi memperingati ulang tahun kegagalan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lalu.

Erdogan dalam ucapannya sekali lagi memberi amaran kepada organisasi pengganas yang mendalangi cubaan rampasan kuasa itu, Fetullah Gulen atau FETO bahawa mereka akan ditentang habis-habisan.

“Mereka fikir mereka sudah dapat melarikan diri tetapi mereka sebenarnya tiada tempat untuk bersembunyi. Mereka sama sekali tidak mampu memecah belahkan Turki dan mereka tidak akan sesekali berjaya.

“Negara ini sudah melalui pelbagai cabaran sejak ribuan tahun lalu dan kami akan terus berdiri gagah,” katanya yang menyampaikan ucapan bermula 2.32 pagi waktu tempatan (7.32 pagi waktu Malaysia) sebagai simbolik waktu bangunan Parlimen dibom pesawat pejuang yang dirampas pemberontak.

Bangunan Parlimen turut dijadikan layar gergasi untuk menayangkan semula beberapa bahagian yang musnah dibom pesawat pejuang, pembangunan semula struktur itu dan memaparkan rakyat Turki yang terkorban.

Erdogan berkata, rakyat yang terkorban tidak akan dilupakan termasuk mereka yang cedera atau cacat dalam peristiwa rampasan kuasa itu.

“Kepada kaum ibu, saya meminta supaya berhenti menangis kerana ahli keluarga yang meninggal dunia tidak akan kembali.

“Tetapi saya berjanji akan mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam peristiwa rampasan kuasa itu, pengikut FETO terdiri daripada anggota tentera merampas jet pejuang, helikopter dan kereta kebal.

Bagi mempertahankan kerajaan, Erdogan menerusi satu siaran televisyen menyeru rakyat Turki turun ke jalanan.

Seramai 249 nyawa terkorban dengan bangunan Parlimen dibom, ibu pejabat polis diserang selain beberapa bangunan lain turut musnah.

Bagaimanapun rampasan kuasa itu berjaya digagalkan dengan sokongan rakyat dalam tempoh 22 jam. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *