Masa Terbaik Makan Buah-Buahan

Buah-buahan merupakan salah satu makanan penting kepada anda kerana selain fiber, ia membekalkan pelbagai nutrien yang bermanfaat kepada kesihatan.

Seperti memetik Sinar, ada pendapat mempercayai bahawa buah-buahan harus dimakan ketika perut kosong dengan alasan-alasan seperti yang penulis terangkan dalam tulisan ini.

Sebahagian pakar menganggap cara makan buah-buahan tersebut yang sering dikongsi oleh pelbagai pihak termasuk orang awam sama ada melalui buku, media cetak dan elektronik atau di internet sebagai mitos (tidak benar).

PERUT KOSONG

Mitos mendakwa bahawa makan buah-buahan bersama makanan lain terutamanya pada waktu makan utama akan menyebabkan makanan berada dalam perut (stomach) lebih lama dan seterusnya menyebabkan makanan menjalani fermentasi atau reput.

Mitos ini antara lain dicetuskan oleh Dr. Ted Morter dalam bukunya Your Health… Your Choice.

Mitos sama juga mendakwa bahawa makan buah-buahan dengan makanan lain akan menyebabkan pelbagai simptom seperti perut buncit, berangin dan sakit perut.

Memang benar fiber buah-buahan boleh melambatkan pemindahan makanan ke dalam usus kecil namun dakwaan-dakwaan lain seperti disebutkan di atas adalah tidak benar.

Yang benar, buah-buahan tidak akan berada dalam perut anda pada tempoh yang lama apatah lagi akan menjalani fermentasi dan pereputan di situ.

Kajian menunjukkan bagi orang sihat, fiber memperlahankan tempoh untuk mengosongkan separuh isinya antara purata 72 hingga 86 minit.

Sungguhpun perubahan kelajuan pemindahan tersebut dikira signifikan, namun pemperlahanan ini tidak akan menyebabkan makanan menjalani fermentasi di dalam perut.

KENYANG LEBIH LAMA

Pemperlahanan pemindahan makanan dari perut ke usus kecil sebenarnya bermanfaat kepada anda.

Ia membantu anda kenyang lebih lama dan ia membantu anda mengambil kalori lebih rendah (mengurangkan pengambilan makanan berkalori) pada masa jangka panjang.

Pihak yang menyuarakan pendapat makan buah-buahan pada waktu makan utama menyebabkan makanan berada dalam perut pada tempoh yang lama sehingga menyebabkan ia menjalani fermentasi bersama makanan lain mungkin terlepas pandang penerangan berkaitan fermentasi fiber berdasarkan ilmu biologi/ fisiologi.

Mereka juga mungkin tidak tahu bahawa fermentasi fiber larut dan terkini fiber/kanji kebal (resistant fiber/starch) hanya berlaku dalam kolon (usus besar)!

Menurut ilmu biologi dan fisiologi, pH rendah asid hidroklorik iaitu lebih kurang 1-2 yang dirembeskan ketika perut menerima makanan bukan persekitaran kondusif untuk kehidupan mikroorganisma termasuk bakteria.

Asid hidroklorik yang berbaur dengan makanan yang masuk ke dalam perut antara lain membantu membunuh bakteria yang terdapat pada makanan serta mencegah pembiakan mikrob.

Makan buah-buahan bersama makanan lain ketika waktu makanan utama menyebabkan perut buncit, berangin, diarea atau ketidakselesaan dikatakan sebagai dakwaan yang tidak berasas.

Individu yang mengalami simptom-simptom ini berkemungkinan memang mengalami masalah penghadaman sama ada apabila mengambilnya bersama makanan utama atau secara berasingan.

DIET JENIS METABOLIK Individu ini dikatakan sesuai mengambil buah-buahan tertentu pada kadar tertentu berpandukan diet jenis metabolik (metabolic typing diet).

Berdasarkan diet jenis metabolik, seseorang yang mengalami simptom apabila makan kebanyakan jenis buah-buahan (serta sayur-sayuran) akan reda apabila mengamalkan makanan tinggi protein dan lemak.

Sebahagian orang Islam mengamalkan makan buah-buahan sebelum makan makanan utama dengan berdalilkan ayat Quran yang bermaksud, “Dan buah-buahan dari apa yang mereka pilih, dan daging burung dari apa yang mereka inginkan.” (Waqi’ah: 20-21)

Pendapat tersebut disangkal oleh ulama lain dengan alasan urutan tersebut iaitu buahbuahan mendahului daging burung tidak harus dijadikan dalil kerana ayat tersebut menerangkan makanan di syurga di mana sifatnya berbeza dengan makanan di dunia.

Syeikh Shalih Al-Munajjid Hafizahullah iaitu ulama yang menyangkal pendalilan tersebut berpendapat bahawa seseorang bebas untuk memilih sama ada makan buah-buahan sebelum atau sesudah makan (utama).

Walaupun beliau menolak penyandaran ayat tersebut sebagai dalil, namun beliau bersetuju bahawa mendahulukan makan buah-buahan daripada makanan utama adalah lebih baik kerana ia lebih cepat dihadamkan.

STATUS KESAHIHAN

Imam Nawawi dikatakan menyebut sebuah hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mencadangkan para sahabat makan buah-buahan dahulu, kemudian barulah makan hidangan (makanan berat). Hanya Imam Nawawi ‘meriwayatnya’, kitab tidak disebutkan, maka status kesahihannya tidak diketahui.

Namun jika ia benar-benar sahih maka makan buah-buahan dahulu sebelum makanan utama boleh diterima sebagai anjuran/cadangan Rasulullah SAW.

Sungguhpun Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik manusia untuk diteladani termasuk dalam perkara adab makan minum, namun baginda tidak menguasai semua ilmu keduniaan.

Sebab itu dalam hadis daripada Anas bin Malik RA berkaitan pengkahwinan kurma, Rasulullah SAW bersabda, “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.” (HR Muslim: 2363).

Jadi, pada pandangan penulis katakanlah amalan makan buah-buahan benar-benar dianjurkan (saranan urusan dunia, bukan ibadah) Rasulullah SAW (seperti hadis disebutkan oleh Imam Nawawi) maka jika seseorang mengamalkannya dan mendapati ia
sesuai dalam memulihara kesihatan, maka teruskanlah.

Kepada mereka yang memang biasa makan buah-buahan pada waktu berbezabeza pula iaitu sebelum, bersama atau selepas makanan utama tanpa mengalami masalah penghadaman dan tidak menjejas kesihatan, maka teruskanlah kebiasaan
tersebut.

Bahrain Samah, MH,MD(AM) Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *