Lelaki Sempat Beraya Sebelum Bunuh Mangsa

MELAKA – Suspek kes tetak seorang pesara tentera dan iste­rinya di Taman Bukit Terendak, Su­ngai Udang di sini sempat beraya di rumah mangsa petang semalam sebelum menyamun pasangan terbabit, malam tadi.

Menurut anak mangsa, Mohd. Hishamuddin Abdul Rahman, 29, perkara tersebut diceritakan semula oleh anak saudaranya yang mengecam muka suspek pada petang sebelum kejadian, namun tidak dapat mengesahkan bagaimana keadaan di rumahnya ketika itu.

“Apabila polis menunjukkan gambar suspek kepada saya, secara jujur saya kata tidak kenal tetapi raut wajahnya seperti pernah nampak sebelum ini. Mungkin suspek tinggal di kawasan perumahan kami.

“Baru-baru ini, ayah ada melahirkan kebimbangan kerana terdapat sebuah rumah jiran di sini telah dipecah masuk. Saya telah menasihati ayah supaya sentiasa memastikan rumah dikunci bagi mengelakkan perkara sama berlaku terhadap rumah kami,” kata­nya yang bekerja sebagai pensyarah di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah ketika ditemui di sini hari ini, lapor Utusan.

Bagaimanapun, kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila mangsa, Abdul Rahman Pileh, 60, yang juga bekas anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para ditemui mati akibat ditetak dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam tadi di rumahnya.

Isteri mangsa, Sabturiah Lukidau, 59, pula mengalami kece­deraan parah di bahagian muka dan tangan dipercayai ditetak dan dikelar menggunakan senjata sama namun kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Melaka di sini.

Sementara itu, tambah anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu, semasa kejadian ibu dan bapanya berada di rumah dan sepatutnya menjemput dia di Terminal Melaka Sentral pada pukul 8 malam.

Katanya, menjadi rutin setiap hujung minggu dia pulang ke Me­laka untuk melawat kedua orang tuanya terutama bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Kali terakhir saya menghubu­ngi arwah pada pukul 5.25 petang sebaik tiba di Sepang, Selangor. Selepas itu saya menaiki bas ke Melaka dan sepatutnya arwah menjemput saya di Melaka Sentral pada pukul 8 malam tetapi tidak muncul sehinggalah saya mendapat panggilan 40 minit kemudiannya daripada jiran memaklumkan kejadian tersebut,” ujarnya.

Difahamkan, ketika mangsa ditemui, Abdul Rahman sedang memegang kunci kereta dan dompet dipercayai untuk keluar rumah bagi menjemput Mohd. Hishamuddin.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan polis kini menahan reman seorang lelaki berusia 35 tahun selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Me­laka, Analia Kamarudin terhadap suspek terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *