JDT Gah Teraju Liga Super

KELAB gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri dan semakin gah muncul sebagai pendahulu Liga Super selepas menewaskan Sarawak 3-1 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Sehubungan itu, Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan juara liga tiga kali berturut-turut itu melebarkan jurang sebanyak 11 mata dengan pencabar terdekat, Kedah yang seri 1-1 bertemu Selangor di Stadium Darul Aman, Alor Setar, lapor Kosmo.

Dalam aksi itu, Mohammed Ghaddar membuka tirai jaringan pada minit ke-11, tetapi Sahil Suhaimi menyamakan kedudukan pada minit ke-63.

Bagaimanapun, jaringan penyamaan skuad Bujang Senang itu tidak bertahan lama apabila Ghaddar sekali lagi memastikan JDT berada di depan pada minit ke-75 sebelum Safawi Rasid melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan berselang dua minit kemudian.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka United gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 2-3 kepada pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang.

Pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri meledak gol pertama pasukan pelawat seawal minit ke-6 sebelum Marko Simic menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti buat Melaka United pada minit ke-34.

Mark Hartmann memastikan skuad Harimau Kumbang berada di depan pada minit ke-54, sebelum S. Kumaahran menjaringkan gol kemenangan buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan pada minit ke-60.

Simic kembali merapatkan jurang kedudukan dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-89 tetapi kebangkitan lewat Melaka United gagal mendapatkan satu mata apabila keputusan 2-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Thiago Augusto menjadi watak penting dalam kejayaan Felda United yang berpesta gol menewaskan T-Team 5-1.

Bekas pemain FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Noor menjaringkan gol pertama Felda United (m-23) sebelum Augusto mencipta hatrik pada minit ke-48, 59 dan 78 sebelum Ifedayo Olesugun melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-89.

Gol sagu hati T-Team hadir menerusi jaringan Joseph Yannick pada minit ke-42.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *