Dari London Naik Basikal Tunai Haji

London – Sekumpulan lapan pemuda semalam berlepas dari bandar raya ini dengan mengayuh basikal, menuju ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.

Menurut Agensi, penunggang dari kumpulan Human Aid yang berpejabat di Britain itu berharap dapat mengumpulkan derma berjumlah £1 juta (RM5.6 juta) menerusi usaha mereka itu.

Kumpulan berkenaan bertolak dari timur London dan akan berkayuh ke New Haven sebelum menaiki ferri ke Deippe di Perancis. Dari situ, mereka akan berkayuh ke Paris, menuju ke Swizterland, Jerman, Austria, Liechetenstein dan memasuki Itali, lapor Metro.

Di Venice, mereka akan menaiki feri menuju ke Igoumenitsa di Greece dan berkayuh ke Athens untuk menaiki pesawat ke Iskandariah di Mesir.

Sehubungan itu, dari bandar pelabuhan tepi pantai itu, kumpulan terbabit akan ke Hurgadha sebelum menaiki feri ke Yanbu di Arab Saudi dan akhirnya berkayuh ke Madinah.

Dana yang dikumpul sepanjang misi yang dinamakan Kayuhan Haji itu akan didermakan kepada mangsa perang saudara di Syria.

Pengasasnya, Abdul Wahid berkata, dia merancang projek berkenaan selepas memeluk Islam 11 tahun lalu.

Menurutnya, dia menjangka cabaran itu akan mengambil masa dua bulan dan mereka hanya akan berkayuh pada siang hari.

Peserta yang terdiri daripada tiga warga Britain keturunan Bangladesh, empat keturunan Pakistan dan seorang penduduk asal Britain bukanlah penunggang basikal profesional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *