Curi Duit Tabung Masjid, Suami Isteri Ditahan

ALOR GAJAH – Cubaan suami isteri mencuri duit tabung di Masjid Nurjannah Kariah Ayer Hitam Pantai, Masjid Tanah, di sini, gagal apabila kegiatan mereka disedari penduduk, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, lelaki yang berusia 27 tahun itu dikesan sedang mengalihkan kedudukan kamera litar tertutup (CCTV) sementara wanita dipercayai isterinya berusia 31 tahun berada di dalam masjid dalam keadaan mencurigakan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim.

Beliau berkata, seorang pengadu, 49, memaklumkan dia menerima panggilan daripada penduduk kampung mengenai kejadian itu sebelum ke masjid berkenaan.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pengadu di masjid. Suspek bertindak menolak pengadu dan melarikan diri namun gagal apabila merempuh pintu kaca masjid hingga pecah sebelum mereka ditahan penduduk,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata, lelaki terbabit cedera di bahagian muka sebelah kanan dipercayai akibat rempuhan pada pintu kaca masjid berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangga pengunci pada tabung yang diletakkan di perkarangan masjid sudah dipotong menggunakan alat pemotong besi dan wang di dalam tabung berjumlah RM98 hilang.

“Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah untuk direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam masjid,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima dua lagi laporan polis berhubung kejadian curi tabung masjid masing-masing di Alor Gajah dan Jasin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *