Virus JE Kembali

KUCHING – Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) semalam mengesahkan terdapat satu kes jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan berlaku di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Promosi Kesihatan JKNS, Aziman Mahdi berkata, kes yang dilaporkan berlaku itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Taman Sentoria, Jalan Stakan di sini pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut telah dima­sukkan ke Hospital Umum Sarawak di sini selepas mengalami perubahan tingkah laku selain demam dan sakit kepala.

“Selepas menjalani ujian darah dan ujian cerebrospinal fluid, kanak-kanak terbabit telah disahkan positif JE.

“Bagaimanapun, selepas diberi rawatan, pesakit telah dibenarkan pulang ke rumah pada 5 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam, lapor Kosmo.

Mengulas lanjut, Aziman memberitahu, pihak JKNS sudah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan di sekitar kawasan kanak-kanak itu menetap.

Katanya, antara tindakan yang diambil ialah melakukan penyemburan kabus bagi membunuh jentik-jentik dan nyamuk di kawasan yang dikenal pasti.

“Kita juga telah mengedarkan surat makluman ke sekolah-sekolah dan para penduduk dalam kawasan terlibat. Selain itu, kita juga memastikan liputan pemberian vaksin JE adalah 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 15 tahun ke bawah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyakit JE boleh dicegah melalui pemberian vaksin kepada individu yang berisiko.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *