Jemaah Menteri Setuju Beri Rebat Keseluruhan Kos Pembekalan Elektrik Sebanyak 2.54 Sen/kWj

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, jemaah menteri memutuskan tiada semakan kepada kadar tarif dan rebat.

Beliau berkata, jemaah menteri juga bersetuju membelanjakan sebanyak RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada pengguna di Semenanjung Malaysia, bagi tempoh Julai hingga Disember 2017.

“Peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 2.4% daripada yang telah dipersetujui dalam tarif asas sepanjang Januari hingga Jun 2017.

“Persetujuan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Jun 2017,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, peruntukan RM1.303 bilion tersebut menggunakan Dana Hasil Rundingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Penjana Kuasa Bebas Generasi Pertama (Dana Penjimatan PPA).

“Menerusi keputusan tersebut, Jemaah Menteri telah bersetuju memberi rebat keseluruhan kos pembekalan elektrik sebanyak 2.54 sen/kWj di Semenanjung Malaysia merangkumi surcaj bahan api sebanyak 1.02 sen/kWj, dan rebat tarif sebanyak 1.52 sen/kWj ditampung menggunakan Dana Penjimatan PPA bagi tempoh Julai hingga Disember 2017.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju mengekalkan kadar purata tarif elektrik asas di Semenanjung pada 38.53 sen/kWj,”katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, secara keseluruhannya, pelarasan tarif elektrik di bawah dasar kos bahan api dan penjanaan tidak seimbang (ICPT) telah membolehkan pengguna elektrik menikmati rebat sebanyak RM5.403 bilion di Semenanjung untuk tempoh Mac 2015 hingga Disember 2017.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *