Isa Lepas Jawatan Dengan Rela Hati – PM Najib

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) dengan rela hati.

Beliau berkata, pendirian tersebut dinyatakan sendiri oleh Mohd Isa dalam pertemuan mereka di sini pagi ini.

Pertemuan tersebut turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

“Bagi menghargai Mohd Isa dalam FGV, kita setuju lantik beliau sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta merta,” katanya, lapor Awani.

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri berkata, tindakan dalaman akan diambil untuk menentukan proses keadilan dan melalui Lembaga Siasatan FGV terhadap perkara yang telah berlaku kepada Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga individu lain yang telah diarahkan bercuti bemula 6 Jun lepas oleh Lembaga Pengarah FGV.

“Ini dikehendaki kerana ia merupakan prinsip tadbir urus syarikat senaraian awam. Siasatan bukan bererti mereka bersalah.

“Pihak Lembaga Pengarah (FGV) akan membuat keputusan adil sebaik mungkin,” katanya.

Selain Zakaria, turut diarah bercuti ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim.

Dengan penyusunan semula, Najib dilaporkan berkata, ia mencerminkan hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV di landasan yang kukuh dan FGV mempunyai masa depan yang cerah.

Ditanya mengapa Sulaiman dilantik sebagai pemangku, beliau berkata: “Ini sehingga kami membuat keputusan muktamad. Kita perlu ada perubahan segera. Kalau orang baru perlu dilantik lembaga pengarah, ia mengambil masa.

“Kami mahu FGV terus tanpa gangguan,” katanya.

Sulaiman, 67, merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas FGV serta Pengerusi Telekom Malaysia (TM) dan Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga tokoh yang berpengalaman luas dan pernah berkhidmat dalam kerajaan selama 38 tahun dengan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Zakaria, Ahmad Tifli, Ahmad Salman dan Kamarzaman bercuti bermula 6 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat senaraian awam itu.

Kerajaan seterusnya melantik Idris sebagai pihak bebas bagi menangani kemelut tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: