Guna Telefon Bimbit Punca 35 Peratus Kemalangan jalan raya

YAN – Penggunaan telefon bimbit semasa memandu menyumbang sehingga 35% kadar kemalangan di negeri ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata tindakan itu juga boleh menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan disebabkan fokus pemanduan terjejas.

“Risiko mungkin kurang jika pemandu menggunakan ‘handsfree’, namun penggunaan telefon bimbit boleh mengakibatkan aliran trafik perlahan bahkan turut mengundang kemalangan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 11/2017 Sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Kedah di perkarangan Balai Polis Guar Chempedak hari ini.

Asri berkata sebanyak 54 kawasan disenaraikan sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan di negeri ini dalam Ops Selamat 11/2017 yang bermula 18 Jun sehingga 2 Julai ini.

“Kita mensasarkan penurunan 5% kes kemalangan tahun ini. Jumlah kemalangan yang direkodkan di negeri pada Ops Selamat pada Hari Raya Aidilfitri 2016 adalah 1,201 kes, memperlihatkan peningkatan sebanyak 11 kes kemalangan atau 1% berbanding tahun sebelumnya sebanyak 1,190 kes,” katanya.

Beliau turut mengingatkan individu yang meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung menyambut hari raya supaya memaklumkan kepada polis menerusi Borang Maklumat Balik Kampung untuk menjamin keselamatan rumah mereka.

“Borang itu boleh diperoleh di balai dan juga dimuat turun daripada Portal Rasmi PDRM (Polis Diraja Malaysia) malah pemakluman juga boleh dilakukan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan Apple Store,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: