Pensil Cakar Bantu Anak Menulis

Nur Diana Allisya Mizan Nurmizan, mencecah usia dua tahun, kanak-kanak tersebut didapati masih tidak boleh bercakap mahu pun memberi tindak balas apabila namanya dipanggil.

Ibunya, Dazrina Che Din, 37 mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya.

Berbeza dengan kanak-kanak lain, Nur Diana seperti sukar bercakap, hanya menggumam, suara tidak jelas dan hanya menggunakan isyarat jika hendakkan sesuatu.

Dazrina tidak mahu terlewat sebaliknya dia membawa Nur Diana berjumpa dengan pakar kanak-kanak.

Walaupun awalnya, dia dan suami seperti terkejut apabila doktor mengesahkan Nur Diana menghidap autisme ringan, mereka reda dan mahu melakukan yang terbaik buat anaknya.

Sebagai ibu, Dazrina mahu melihat perjalanan anaknya itu seperti kanak-kanak lain yang boleh bercakap, membaca dan menulis.

“Ramai ibu bapa yang masih tidak sedar sikap anak-anak mereka. Ada sesetengah kanak-kanak bermain seperti berada di dalam dunianya sendiri. Ada pula yang mendiamkan diri, cepat mengamuk dan terlalu aktif. Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada si penutur.

“Sekiranya anda mempunyai anak yang bersikap sedemikian, anda perlu sedar ada kemungkinan anak ini menghidap autisme,”ujar Dazrina, lapor Utusan.

Baginya kanak-kanak autisme juga mempunyai masa depan. Selepas berjumpa pakar, Nur Diana dihantar menjalani terapi dan banyak perubahan yang dapat dilihat pada diri kanak-kanak itu.

Pun begitu, Dazrina melihat anaknya masih tidak dapat memegang benda termasuk pensel dengan betul.

Sehubungan itu, hasilnya, Nur Diana tidak dapat menulis dengan betul. Malah dia mudah penat semasa menulis, malah untuk menulis namanya sendiri pun mengambil masa sehingga 15 minit.

Menurut Dazrina, pakar kanak-kanak mendapati masalah Nur Diana disebabkan oleh motor halus (fine motor) yang lemah menjadikan jarinya lemah dan tidak boleh memegang sudu atau pinggan, tidak mampu memberus gigi atau melakukan sebarang kerja yang mudah.

“Saya pernah menghantar Nur Diana rawatan termasuk melakukan urutan kepada Nur Diana dan perubahan mula dapat dilihat sedikit demi sedikit.

“Dia yang kini berumur enam tahun, mengikuti kelas prasekolah di Sekolah Agama Antarabangsa At-Tamimi di Subang, Selangor dan sudah boleh menuliswalaupun sedikit,” jelasnya yang ditemui di Cyberjaya bersama anaknya itu baru-baru ini.

Melatih

Dalam pada itu, seorang kawannya yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) telah menghadiahkan pensel cakar (claw pencil) supaya dapat digunakan oleh Nur Diana untuk menulis.

Menariknya, pensel cakar telah direka oleh seorang ahli terapi di AS, khusus digunakan untuk kanak-kanak autisme. Pensel ini telah digunakan di negara itu sejak dua tahun lalu.

“Pensel cakar ini nampaknya berjaya menarik perhatian Nur Diana untuk menulis. Dia gembira dan selesa. Alhamdulillah, dia kini tidak lagi lambat menulis seperti dahulu dengan pelbagai keluhan. Pegangan pensel yang menarik membuatkan Nur Diana selesa.

“Sebenarnya apa sahaja pensel boleh digunakan kerana yang penting ‘acuan cakar’. Pensel akan dimasukkan ke dalam lubang tengah pada acuan cakar yang dibuat daripada getah.

“Fokus diberikan kepada tiga jari utama, iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu,” katanya.

Dazrina menjelaskan, tanpa menggunakan pensel cakar ini, kesemua jari tangannya terbuka dan tidak tahu bagaimana hendak memegang pensel.

Memandangkan ia mempunyai potensi membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah menulis, pensel cakar ini menjadi alatan bagi melatih kanak-kanak seawal usia dua tahun hingga tujuh tahun menulis dengan betul dan pantas.

Pensel cakar yang diimport dari AS, sudah terjual lebih 1,000 unit biarpun baru sebulan memasuki Malaysia.

Tambah Dazrina, penggunaan pensel tersebut hanya untuk memberikan keyakinan kepada kanak-kanak autisme menulis. Apabila mereka sudah selesa dan mahir menulis, biasanya tidak memerlukan lagi pensel tersebut ketika.

Bagaimanapun, kanak-kanak normal atau kanak-kanak yang mempunyai masalah menulis pun boleh menggunakannya. Pensel ini boleh juga digunakan untuk melukis atau membuat kerja-kerja seni.

Terdapat empat warna menarik yang boleh dipilih, iaitu biru, merah, merah jambu dan oren. Setiap satu dijual pada harga RM15. Untuk maklumat lanjut tentang pensel cakar boleh melayari Facebook @tuliscantik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *