Singapura `Digegar’ Dengan Persengketaan Terbuka Keluarga Perdana Menteri

Semalam, Singapura digegarkan dengan drama politik yang tidak disangka-sangka melibatkan persengketaan antara Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong dengan dua adiknya iaitu Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling.

Hsein Loong yang merupakan anak sulong kepada Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, telah dikecam oleh adik beradiknya itu yang menuduhnya sebagai cuba mengeksploitasi legasi bapanya semata-mata untuk agenda politiknya sendiri.

Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan oleh Hsein Loong. Adik-adiknya mendakwa abang mereka menggunakan kuasa untuk mengganggu mereka dan Hsein Yang pula memutuskan untuk meninggalkan negara itu, hasil daripada tindakan berkenaan.

Kenyataan yang dibuat oleh dua beradik itu menerusi media sosial telah menjadi tular dengan pantas di negara yang mana kebebasan suara sememangnya terhad.

Susulan pergaduhan itu, penganalisis melihat serangan daripada anggota keluarga akan memberikan kesan dan sekali gus mencetuskan tanda tanya. Meskipun ada yang melihatnya sebagai satu pertelingkahan keluarga namun apa yang jelas, ia lebih daripada itu, kata penganalisis

“Serangan daripada ahli-ahli keluarga yang dipercayai, adalah berkesan dan sah menimbulkan tanda tanya. Ada yang melihat ini sebagai satu pertelingkahan keluarga tetapi ia adalah jelas lebih daripada ini, “kata penganalisis Asia Tenggara, Bridget Welsh kepada AFP.

Ia juga memberikan kesan di mana timbul persoalan bagaimana Hsein Loong menggunakan legasi bapanya dan bagaimana perhatian akan ditumpu kepada isterinya serta kuasa dan legasi beliau.

Persengketaan adik beradik itu bermula melibatkan rumah pusaka Kuan Yew.

Sementara itu, Wei Ling dalam kenyataannya semalam berkata, beliau dan abangnya, Hsien Yang tidak akan mengeluarkan kenyataan terbuka jika pertikaian dengan Hsien Loong semata-mata urusan keluarga.

Sebaliknya, dalam kenyataan menerusi Facebooknya, Wei Ling berkata, mesej utama kenyataan setebal enam halaman itu adalah kerana mereka bimbang apa yang akan dilakukan oleh abang mereka ke atas mereka kelak.

 


Wei Ling sekali lagi merujuk kepada isu rumah di 38 Oxley Road, iaitu rumah yang dibeli Kuan Yew dan isterinya Kwa Geok Choo. Menurutnya, mendiang bapa mereka sudah berkali-kali memberitahu anak-anaknya bahawa tidak perlu untuk mendermakan hasil penjualan rumah itu kepada badan amal kerana ia adalah harta keluarga.

Namun katanya, Hsien Loong memberitahu sebagai syarat menjual rumah itu kepada adik lelakinya, adiknya itu harus membeli rumah tersebut mengikut harga pasaran dan mendermakan 50 peratus daripada nilai itu kepada badan amal.

“Ini adalah “percubaan PM Lee’ untuk menghukum Hsien Yang kerana menyekatnya daripada apa yang ingin dilakukannya terhadap rumah itu,” katanya.