Pengajaran Supaya Jangan Membazir

Semalam Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi blognya berpesan supaya kita jangan boros bagi mengelakkan pembaziran. Beliau turut memuatkan statistik di mana pembaziran berlaku setiap kali bulan Ramadan.

Berdasarkan statistik, setiap tahun pada bulan Ramadan, rakyat Malaysia membuang kira-kira 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan jika disusun longgokan makanan tersebut, ia bersamaan dengan ketinggian 30 bangunan KLCC.

Begitu banyak sekali pembaziran dilakukan. Sepatutnya Ramadan menjadi bulan di mana kita melihat kembali amal ibadah kita dan sesungguhnya pembaziran ini merupakan sesuatu yang dilarang agama.

Bayangkan jika 270,000 tan makanan yang tidak diusik itu diberikan kepada penduduk di negara yang dilanda krisis makanan dan kebuluran seperti Somalia, Uganda, Kenya, Habsyah dan Selatan Sudan. Sudah tentu berjuta-jut penduduknya dapat menikmati makanan itu.

Di Selatan Sudan sahaja, kira-kira 5.5 juta penduduknya mengalami kebuluran dengan 250,000 kanak-kanak dijangka terjejas pada tahun ini.

Begitu juga di negara bergolak Syria. Konflik yang berlaku di negara itu mengakibatkan penduduknya berdepan dengan masalah mendapatkan makanan. Harga makanan meningkat berkali-kali ganda.

Malah konvoi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke negara itu mendapati krisis makanan ini menjejaskan tujuh juta orang.

Tahun lepas, pengarah program PBB di Asia Barat, Muhannad Hadi memberitahu penduduk di wilayah Aleppo di Syria terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan dan itu pun jika ada tong sampah di situ.

Selain itu ada pula yang terpaksa makan rumput. Keadaan ini menunjukkan betapa keadaan meruncing di sesetengah negara namun kita di Malaysia, melakukan pembaziran.

Tujuan berpuasa adalah untuk melahirkan manusia yang sederhana namun jika kita melakukan pembaziran dengan mengikut hawa nafsu, di mana hikmahnya. Kita telah mengabaikan rezeki kurniaan Tuhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *