Operasi Pesawat Hawk Digantung Serta-Merta

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggantung semua operasi latihan atau penerbangan membabitkan pesawat Hawk MK108 susulan insiden mengorbankan dua juruterbang mereka hari ini.

Panglimanya, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang, berkata tempoh penggantungan operasi pesawat itu akan diputuskan kemudian, selepas mengambil kira hasil laporan penemuan oleh pasukan siasatan yang ditubuhkan.

“Keputusan ini (penggantungan) perlu bagi memberi ruang kepada pasukan siasatan melakukan siasatan mereka… ini adalah antara langkah segera yang kita ambil.

“Kita juga akan memastikan kebajikan keluarga kedua juruterbang kami yang terkorban ini mendapat perhatian sewajarnya.

“Mejar Mohd Hasri Zahari, 31 tahun dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39 tahun adalah juruterbang berpengalaman dan aset kami, …insiden ini adalah kehilangan besar kepada TUDM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pangkalan TUDM Kuantan, di sini, hari ini.

Kedua-dua juruterbang Hawk MK108 TUDM yang dilaporkan hilang jam 11.30 pagi tadi disahkan meninggal dunia dan ditemui kira-kira jam 2.30 petang tadi di kawasan berpaya dekat Kampung Sungai Ibok, Air Jernih, dekat Kemaman, Terengganu.

Affendi berkata, mayat mangsa ditemui 20 meter antara satu sama lain dengan payung terjun masing-masing. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *