Zidane Tentukan Nasib Pemain

MADRID – Presiden Real Madrid, Florentino Perez menjelaskan, masa depan semua pemain kelab itu kini terletak di tangan ketua jurulatih, Zinedine Zidane yang baru sahaja mencipta sejarah pasukan dengan mempertahankan trofi Liga Juara-Juara selama dua musim berturut-turut pada aksi final kelmarin.

Menurut Agensi, mengenai masa depan penyerang, James Rodriguez, Perez berkata, segala-galanya juga akan ditentukan menerusi keputusan Zidane.

“Tentang masa depan Rodriguez, kami akan mengadakan perbincangan dengan Zidane kerana dia ‘konduktor dalam pasukan orkestranya’. Jika keputusan perpindahan pemain ini ditentukan oleh saya, sudah tentu saya mahu semua pemain kekal.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Rodriguez pemain hebat dan lincah tetapi apabila terlalu ramai pemain bintang dan pemain berbakat di sini, kami perlu mengekalkan pemain yang sesuai dengan falsafah permainan sahaja.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih kerana dia adalah individu yang akan menentukan masa depan pasukan Real,” jelasnya, lapor Kosmo.

Dalam pada itu, Perez enggan me­ngakui Real masih berminat untuk mendaratkan penjaga gol Manchester United, David De Gea semasa jendela perpindahan pemain dibuka musim panas ini.

“De Gea adalah penjaga gol yang berbakat tetapi saya tidak tahu di mana dia bakal beraksi musim depan,” ujarnya.

Sementara itu, Perez sangat teruja dengan sentuhan Zidane biarpun hanya ditugaskan sebagai pengendali skuad utama hanya dalam tempoh 17 bulan sahaja.

“Zidane boleh berada di sini sepanjang hidupnya. Dulu ramai orang yang tidak yakin dengan kebolehan dimiliki, namun sekarang dia telah memenangi segala-galanya di Madrid.

“Bermula pada tahun 2001, dia te­lah memberi sumbangan yang sangat besar kepada kami iaitu sebagai pemain tonggak.

“Kini dia diberi tanggungjawab untuk menguruskan pasukan pula. Kami perlu berterima kasih kepada Zidane kerana banyak berkorban demi pasukan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *