KPDNKK Senaraikan 10 Barangan Dalam Harga Kawalan Sempena Ramadan

SEPANG – Sebanyak 10 barangan disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 selama 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei ini di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, barang-barang berkenaan adalah kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.

“Skim ini pertama kali dilaksanakan berikutan cadangan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan tertentu menjelang bulan Ramadan,” katanya.

Katanya, skim ini akan berkuatkuasa lima hari sebelum Ramadan dan lima hari semasa Ramadan. Ramadan dijangka bermula 27 Mei ini.

“Skim ini bertujuan menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga menjelang Ramadan dan semasa Ramadan,” katanya dalam sidang media pengumuman Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 di sini pada Jumaat.

Hamzah berkata skim itu merupakan antara langkah kerajaan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

“Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Hamzah berkata mereka yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditentukan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: