‘Insiden Tampar Itu Satu Pengajaran…!’- Zed Zaidi

KUALA LUMPUR – “Ini satu pengajaran kepada kita supaya tidak akan berulang lagi insiden yang sama seperti ini,” kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi mengulas insiden kekasaran di antara Sulaiman Yassin dan David Teo yang berlaku pada majlis sesi dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi garis panduan kepada mana-mana artis yang bakal terlibat dalam setiap program yang diselaraskan supaya tidak timbul sebarang salah faham sehingga mencetuskan insiden yang tidak diingini.

“Selepas ini saya akan memastikan garis panduan akan diberikan kepada mereka yang hadir bagi menghormati majlis supaya tidak berlaku lagi insiden seperti ini.

“Kita akan buat post mortem bagi setiap majlis yang dianjurkan,”katanya ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

Menurut Zed, Seniman memandang serius perkara itu dan pihaknya akan turut memperuntukkan masa yang lebih kepada setiap artis yang dipilih untuk bercakap dan bertanya soalan kepada Perdana Menteri di setiap program besar seperti itu,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden yang berlaku, beliau mendakwa masih ramai yang bercerita dan memanjangkan perkara tersebut dan mereka adalah orang luar yang tiada pada tempat dan kejadian itu berlaku.

“Banyak ulasan yang tidak tepat dan masih dipanjangkan sedangkan ia telah pun diselesaikan secara profesional.

“Kita berharap pihak luar tidak memperbesarkan isu itu kerana ia sudah diselesaikan secara profesional. Saya anggap benda itu dah selesai. Mereka (Mat Over, David Teo dan Rosyam Nor) juga sudah bermaafan dan pihak luar tidak perlu lagi memanjangkan perkara ini,”katanya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: