Elak Pemujaan, Kubur Penentang Penjajah Inggeris Di Melaka Dialihkan

MAKAM lama milik seorang penduduk tempatan di Kampung Hailam, Tanjung Kling, Melaka, yang dianggarkan berusia kira-kira 120 tahun dialihkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semalam bagi mengelakkan aktiviti khurafat seperti pemujaan.

Memetik Harian Metro, makam tersebut dipercayai milik seorang pendakwah dan penentang penjajah Inggeris tersohor di Melaka suatu ketika dahulu yang dikenali sebagai Nek Dayang.

Difahamkan, makam tersebut sengaja disembunyikan daripada pihak Inggeris atas sebab-sebab keselamatan termasuk mengelakkan ia dibongkar.

Namun, pada 13 Mac lalu, kewujudan makam yang terletak di sebuah perkampungan Cina itu yang juga merupakan  bekas perkampungan etnik Hainan yang wujud sejak 1905, disedari orang ramai selepas ia dikosong dan tapaknya diratakan.

Kehadiran makam itu menarik perhatian pihak tidak bertanggungjawab, yang kononnya beranggapan bahawa kubur lama itu mempunyai keramat sehinggakan ada yang melakukan upacara pemujaaan bagi mendapatkan nombor ramalan.

Bagi mengelakkan aktiviti bertentangan agama itu semakin berleluasa, kerja-kerja pemindahan makam tersebut terpaksa dilakukan, yang diketuai Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama MAIM, Mohd. Fauzi Jaafar.

Menurut Mohd. Fauzi, proses pemindahan makam itu ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung bermula jam 10 pagi selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Mufti dan selesai kira-kira dua jam kemudian.

Ketika kerja-kerja penggalian kubur asal, cuaca hujan renyai-renyai, namun ia tidak menghalang proses pemindahan makam tersebut, kata Mohd. Fauzi.

“Proses memindahkan makam disegerakan memandangkan ia menjadi tumpuan aktiviti pemujaan oleh pihak tidak bertanggungjawab hasil pemantauan yang dilakukan selepas perkampungan itu dikosongkan,” jelasnya.

Pasukan penggali menemui beberapa serpihan tulang termasuk tulang pinggul, yang kemudiannya dikumpulkan dan semadikan semula, selain dua batu nisan turut dialihkan.

Mohd. Fauzi berkata, penduduk pada asalnya meminta makam Nek Dayang dipindahkan ke perkuburan Makam Hang Tuah, namun atas sebab-sebab tertentu ia dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Kling yang terletak 500 meter dari tapak asal.

Melaka, yang diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1989 memang terkenal dengan sejarah, warisan budaya dan seni.

Tapak-tapak peninggalan sejarah yang tersohor antaranya adalah Kota A Famosa, Makam Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja serta Perigi Hang Li Poh dan Perigi Raja. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: