Cinta bukan Prioriti Kata Erra

Pelakon Erra Fazira enggan lagi meletakkan soal cinta sebagai prioriti.

Katanya dia kini mengambil langkah mengikut sahaja ketentuan Ilahi.

“Jika ditunggu jodoh untuk datang bergolek, entah bila akan tiba. Tambahan pula, ia bukanlah dalam bidang urusan kita sebagai manusia.

“Apa yang boleh dikatakan, saya tidak mencari. Buat masa ini, saya hanya mahu memberi fokus kepada apa yang saya kerjakan sekarang,” ujar Erra, lapor Kosmo.

Menurut aktres yang berusia 43 tahun itu, rasa sunyi untuk berteman pernah singgah dalam dirinya. Namun, disebabkan terlalu sibuk menguruskan puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Imran yang kini berusia lapan tahun, rasa tersebut hilang dengan sendiri.

“Fitrah manusia menginginkan teman, tetapi, saya gembira dengan aturan yang ada sekarang. Saya ada ibu, anak, rakan-rakan dan juga kerjaya.

“Sehinggakan saya terfikir, jika ditakdirkan berpasangan, adakah saya mempunyai masa untuknya? Setakat ini, saya selesa dengan kehidupan sebegini,” katanya.

Diminta untuk berbicara lanjut mengenai jodoh, pelakon filem Warna Cinta Impian itu hanya tersenyum.

“Apa yang dikurniakan Allah kelak, itulah yang pasti. Saya reda,” katanya.

Menurut Erra, rakan-rakannya juga tidak pernah putus memberikan sokongan terhadap soal peribadinya.

“Mereka kerap mengajak saya keluar, bukan untuk berjumpa dengan sesiapa tetapi melihat dunia. Maklumlah, saya kini kerap menghabiskan masa di rumah dan tidak mahu terlalu menghabiskan masa di luar,” katanya lagi.

Sejak berpisah dengan Engku Emran, penyanyi lagu Ingin Tahu itu sering diasak dengan soal jodoh dan teman hidup. Sehinggakan, setiap kali muncul dalam mana-mana acara hiburan, soalan pertama yang akan terpacul daripada mulut wartawan adalah mengenai kehidupan peribadinya.

Mengakui sukar untuk menjawab setiap pertanyaan yang diajukan, Erra juga mengharapkan agar khalayak dapat memahami situasi yang dialami selama ini.

“Jika ditanya mengenai kerjaya dan lain-lain perkara, mungkin saya dapat memberikan jawapan yang konkrit berdasarkan fakta.

“Namun, apabila berkait dengan soal jodoh, saya berasa agak sukar untuk memberikan ulasan kerana tiada jawapan sahih dapat diberikan,” tuturnya.

Begitupun, Erra berkata, dia tidak mahu memberikan kata putus seandainya telah berjumpa dengan lelaki yang mahu menyuntingnya menjadi suri hati.

“Ketika pernah dikaitkan dengan beberapa individu, saya tampil memberi kenyataan yang ketika itu saya sedang berkawan dengan seseorang.

“Namun, lain pula jadinya. Khalayak terus membuat andaian saya dan lelaki tersebut mempunyai hubungan istimewa.

“Berkawan tidak semestinya sedang bercinta. Setahun pun belum cukup untuk mengenali hati budi masing-masing apatah lagi jika tempoh perkenalan baru sahaja berlaku,” tegas Erra.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: