Air Terjun Gunung Pulai 1 Ditutup Susulan Kes Kencing Tikus

JOHOR BAHRU – Air Terjun Gunung Pulai 1 di Kulai akan ditutup selama 2 minggu mulai hari ini hingga 1 Jun susulan kematian seorang lelaki akibat kencing tikus malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata penutupan itu disebabkan persekitaran yang kotor dan membolehkan penyiasatan lanjut dilakukan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengarahkan supaya air terjun berkenaan ditutup selama 2 minggu mulai 5 petang ini. Sampel air terjun itu sudah diambil, namun keputusan sampel air itu belum diperoleh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ayub berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya mewartakan Gunung Pulai 1 sebagai Taman Negara Johor bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekali gus menangani masalah persekitaran yang kotor.

Beliau sehubungan itu menasihati pengunjung air terjun atau pusat rekreasi lain sekitar bulan lepas dan bulan ini mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan atau hospital terutama yang mengalami sakit perut, selesema, demam dan lemah anggota badan.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berumur 18 tahun yang meninggal di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Mangsa dari Pekan Nenas, Pontian disahkan meninggal selepas 3 hari berada di Unit Rawatan Rapi HSA.

Beliau dikatakan mengunjungi air terjun itu bulan lepas dan pada awalnya mengalami sakit perut, selesema, demam selama 3 hari serta lemah anggota badan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini dalam proses penyiasatan dan mengenal pasti pergerakan lelaki itu sebelum dia dimasukkan ke hospital. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: