Najib Pendamai Terbaik, Satukan Mat Over Dan David Teoh

David Teo pastinya tidak akan melupakan tarikh 17 Mei, di mana beliau ditampar oleh Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yasin di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penerbit filem berkenaan, juga pastinya tidak menyangka namanya disebut-sebut rakyat Malaysia.

Apa yang pasti kejadian yang berlaku di mana David telah ditampar oleh Mat Over selepas beliau berlaku biadap dan menghamburkan perkataan kurang sesuai di hadapan Perdana Menteri pada acara Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri Segmen Penggiat Seni telah mengundang kecaman netizen.

Disebabkan David mempersoalkan cara Rosyam mengendalikan sesi berkenaan kerana didakwa tidak melihat ke belakang dalam memilih penggiat seni untuk menyuarakan pandangan maka jadilah kekecohan itu.

Menariknya, Perdana Menteri berjaya mendamaikan kedua-dua mereka dan beliau turut mengarahkan David serta Mat Over untuk bermaafan.

Itu menunjukkan Najib seorang yang bertolak ansur dan tidak menyimpan perasaan kerana jika ia berlaku kepada pemimpin lain, mungkin sudah lama David akan digam. Sikap kepimpinan seperti inilah yang kita ingin lihat, bukan memanjangkan lagi perkara berkenaan hingga mengeruhkan keadaan.

Bayangkan jika keadaan itu dibiarkan, sudah pasti acara yang menghimpunkan 400 penggiat seni itu tidak akan dapat berjalan lancar dan matlamat untuk memastikan golongan artis turut diletakkan dalam arus perdana negara terutama menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50) tidak akan tercapai.

Sedangkan ketika berucap pada majlis itu, Najib mahu penggiat seni bukan setakat penghibur tetapi boleh memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara bukan sahaja daripada sudut memajukan industri kreatif dan hiburan.

Malah, katanya jika mahu membentuk rupa bangsa dan membina nilai sikap serta budaya, sudah tentu ia bergantung pada penggiat seni terutama pelakon, penyanyi, pelawak dan pekerja industri hiburan.

“Penggiat seni boleh dijadikan idola dan ikutan. Jika penggiat seni mampu menjadi ikutan, mereka boleh bantu membentuk generasi akan datang untuk mengangkat martabat negara dan seterusnya dijadikan aspirasi negara.

“Pendekatan aspirasi negara sudah berubah dan era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir di mana kini sudah tiba rakyat berkongsi minda dan aspirasi rakyat untuk membina kebersamaan antara kerajaan, ” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *