Video : Penganjur Jelaskan Caj Iftar RM30,000 Turut Dibuat Pihak Lain

KUALA LUMPUR – Program Iftar Perdana yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Al- Qayyim (IQ Malaysia) yang dikatakan mengenakan harga meja terlalu mahal hingga mencecah RM30,000 semeja adalah perkara biasa yang turut dilakukan oleh syarikat korporat lain.

Setakat ini, kata Setiausaha Agung IQ Malaysia, Abu Hafiz Salleh Hudin, penjualan meja berkenaan juga sudah mencecah 20 peratus meskipun mendapat kritikan daripada netizen.

“Bagus juga adanya respon seperti ini, kerana ia telah memperkenalkan sekali gus membantu penjualan meja kami bagi penganjuran iftar kali ini. Yang menjadi isunya, caj yang dikenakan didakwa terlalu mahal, sedangkan ia sama seperti caj yang dibuat pihak lain sebelum ini.

“Terdapat syarikat korporat yang bersetuju dengan pakej yang ditawarkan. Ia adalah semata-mata untuk mengutip dana bagi kerja-kerja dakwah dan kebajikan dan tiada paksaan untuk mana-mana individu atau badan korporat lain untuk menyumbang,” katanya kepada SuaraTV ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Abu Hafiz berkata demikian bagi menjelaskan mengenai kontroversi melibatkan Program Iftar Perdana yang didakwa memenawarkan bayaran yang tinggi untuk berbuka, hingga ada yang mencecah sehingga RM30,000 untuk sebuah meja.

Harga jualan meja yang ditawarkan bagi program berkenaan adalah RM30,000 bagi Pakej A (1 @2 meja), RM20,000 bagi pakej B, RM10,000 bagi pakej C, pakej D RM5,000, pakej E RM3,000 dan pakej F RM1,500 (63 meja).

Ia dijadualkan pada 10 Jun ini dan majlis ini turut dihadiri oleh Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan dengan sebaik mungkin demi untuk membeli barangan keperluan bagi pertubuhan mereka.

“Kita tidak akan melakukan sebarang pengkhianatan kepada dana yang diperolehi ini sebaliknya sumbangan yang disalurkan akan digunakan untuk melahirkan generasi yang menyumbang buah fikiran secara kritis kepada institusi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai dakwaan bahawa laman web institusi terbabit yang hanya diperbaharui sekitar 20015, Abu Hafiz berkata, lebih cepat jika mereka menggunakan youtube dan laman facebook laman web.

“Laman sosial lebih cepat untuk berkongsi sebarang informasi terkini dan tidak perlu lagi menggunakan website kerana orang sekarang mahu cepat dan hanya mahu menggunakan laman sosial,” katanya.

Menjawab dakwaan pihaknya gagal menjalankan audit, Abu Hafiz berkata, setiap tahun institusi tersebut mengadakan AGM dan laporan kewangan mereka juga sentiasa diperbaharui dari masa ke semasa.

“Bagi tahun ini kami masih menunggu laporan audit pada tahun 2016. Malah, AGM kami juga dibuat dengan mengikut undang-undang yang ditetapkan untuk setiap pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya yang turut menegaskan mereka menubuhkan istitusi tersebut tanpa bergaji dan dilakukan demi dakwah.

Justeru beliau meminta pihak tertentu supaya tidak mempertikaikan perjalanan institusi itu kerana semua gerak kerja yang dilakukan di institusi tersebut menggunakan dana sendiri.

“Saya tahu mungkin mereka dengki atau iri hati dengan perjalanan institusi ini. Malah, ada segelintirnya cuba melabelkan kami supaya menjadi kebencian masyarakat,” katanya.

VIDEO MENYUSUL…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *