Video: “Ini Je Yang Tinggal… Bukan Saya Punya Pun”

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ampang, Datuk Adam Rosly berjaya mengumpul RM300,000 pada saat-saat akhir untuk diikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan memberi keterangan palsu hari ini.

Selepas keluar dari perkarangan mahkamah dan menaiki sebuah kereta pacuan empat roda, Adam dengan secara berseloroh berkata, “ini je yang tinggal… bukan saya punya pun..” merujuk kepada kenderaan yang dinaikinya itu.

Pada 14 April lalu, SPRM turut menyita lima kenderaan mewah milik Adam, bagi membantu siasatan dan pada masa sama turut membekukan sebanyak lapan akaun bank bernilai RM212,461 milik beliau dan isterinya.

Banglo miliknya yang bernilai RM 1.2 Juta juga turut disita SPRM pada Khamis.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), berkaitan kesalahan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika proses siasatan pada Februari lepas.

Hakim menetapkan wang ikat jamin RM300,000 dan mengarahkan pasport Adam dirampas. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *