TMJ Serah Senarai Pemain, Pegawai FAM Kepada SPRM

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyerahkan senarai nama serta butiran peribadi pemain bola sepak negara serta pegawai berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Butiran lengkap itu diterima sendiri pegawai atasan agensi antirasuah berkenaan di Johor.

Dalam kenyataan medianya, SPRM berkata, Tunku Ismail menyerahkan senarai nama serta maklumat peribadi itu supaya mereka boleh dipantau rapi.

Selain pemain, individu yang termasuk dalam senarai berkenaan ialah pengadil, pegawai pasukan serta kakitangan lain FAM.

“Pada pertemuan yang diadakan pada malam semalam itu, Tunku Mahkota Johor menitahkan kepada SPRM untuk membantu memastikan arena sukan bola sepak negara bersih serta bebas daripada sebarang pengaruh rasuah dan salahguna kuasa,” kata kenyataan itu.

Justeru SPRM menyatakan komitmen penuh mereka untuk memastikan sukan bola sepak di negara ini bebas daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa.

Tunku Ismail disahkan sebagai presiden FAM pada kongres ke-53 badan itu 25 Mac lalu. Beliau menang tanpa bertanding selepas pencabar tunggal, Tan Sri Annuar Musa menarik diri dua hari sebelumnya.

Annuar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen TMJ terhadap bola sepak Malaysia dan perkenan Sultan Johor.

Tidak berapa lama sebelum menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden FAM, Tunku Ismail memang lantang memperjuangkan isu antirasuah.

Beliau juga memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan sukan bola sepak dapat diberi wajah baru.

Malah seorang bekas pegawai kanan kerajaan – Tan Sri Aseh Che Mat – diberi kepercayaan oleh Tunku Ismail mengetuai Jawatankuasa Integriti FAM.

SPRM berkata pertemuan malam semalam dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM; Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *