Simpan Telefon, Jamal Bimbang Osama Kena Kejutan Budaya

Jamal Abdillah bimbang anak sulungnya, Osama, 16, yang kini bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di selatan tanah air hanyut dengan dunia maya apabila mempunyai pengikut mencecah 50,000 orang dalam laman Instagramnya.

Penyanyi itu meluahkan kebimbangan apabila terpaksa tinggal berjauhan dengan anak sulung hasil perkahwinan keduanya, Osama Yamani, 16, lapor Kosmo.

Menurut Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 58, anaknya itu dimasukkan ke sebuah sekolah seni berasrama penuh di Johor Bahru sejak berusia 13 tahun. Namun, beliau semakin bimbang memikirkan perkembangan emosi dan sahsiah diri anaknya itu apabila semakin meningkat remaja.

Bagaimanapun, Jamal mempunyai cara tersendiri untuk mendisiplinkan anak bujangnya itu. Selain Osama, Jamal mempunyai seorang lagi anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani, 11, hasil perkahwinan ketiganya sebelum ini.

“Anak sulung saya Osama kini sudah berada di tingkatan empat. Sebenarnya saya agak runsing dan bimbang apabila anak meningkat remaja.

“Kami tinggal berjauhan, saya di Shah Alam, Selangor dan dia di Johor Bahru kerana bersekolah di sana. Apa yang membimbangkan, saya tidak dapat memantau dan melihat dia membesar di hadapan mata,”katanya.

Katanya, apabila ditanya mengenai menghantar anaknya bersekolah jauh, katanya sebagai bapa, dia mahu beri pendidikan terbaik buat anak-anak.

“Osama begitu berminat dengan muzik, jadi saya masukkan dia ke sekolah seni yang terbaik di Malaysia.

“Mahu atau tidak, kami terpaksa tinggal berjauhan demi masa depannya. Disebabkan telefon tidak boleh digunakan di sekolah berasrama penuh, saya hanya akan menghubunginya setiap hujung minggu sahaja,”katanya.

Tambahnya, perkara yang paling membimbangkannya sekiranya perasaan memberontak timbul.

“Saya sudah merasainya tetapi zaman dahulu dan sekarang jauh berbeza. Apa yang dibimbangkan adalah Osama lupa diri dengan kejutan budaya.

“Akaun Instagramnya sahaja sudah memiliki 50,000 orang pengikut, sudah tentulah saya bimbang. Saya bimbang dia tidak dapat seimbangkan antara pelajaran dan kehidupan glamor di alam maya,”katanya.

Katanya, tindakan yang diambilnya adalah dengan bertegas dan menyimpan telefon bimbit anaknya.

“Saya juga menasihatinya dengan meminta menutup akaun Instagram. Sebagai bapa, tiada lain harapan saya selain dia mendapat A dalam semua mata pelajaran sewaktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil pada tahun hadapan.

“Selepas menamatkan pelajaran di universiti, baru dia berhak untuk pilih jalan hidup sendiri. Jika benar dia berminat dengan muzik, saya mahu dia menjadi seperti meastro seni dan konduktor muzik, Datuk Ramli MS, bukannya sekadar penyanyi sahaja,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: