Perodua Kekalkan Sasaran Jualan 202,000 Unit Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 202,000 unit tahun ini, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Jualan kumpulan itu meningkat tahun ke tahun, mencatatkan pertumbuhan 6.6 peratus meskipun Suku Pertama 2017 yang mencabar, katanya.

Aminar berkata kumpulan itu menjual 50,300 unit pada Suku Pertama 2017 berbanding 47,500 unit dalam tempoh yang sama pada 2016.

“Bagaimanapun, kami tetap mengambil pendirian berhati-hati bagi tempoh tiga suku akan datang disebabkan oleh persekitaran semasa yang mencabar,” kata Aminar kepada pemberita selepas melancarkan program insurans motor Perodua Total Protect, di sini, Khamis.

Setakat ini, Perodua menjual kereta kepada lebih tiga juta pelanggan di seluruh negara, katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata program insurans motor Perodua Total Protect itu menyediakan manfaat tambahan dan perlindungan jangka panjang kepada pelanggan.

Beliau berkata program itu menyediakan perlindungan penuh jumlah diinsuranskan bagi tempoh lima tahun kenderaan.

“Sekiranya berlaku kehilangan atau kecurian, pelanggan layak mendapat jumlah penuh yang diinsuranskan dan bukan berasaskan kepada nilai pasaran pada masa kehilangan,” kata Zahari.

Beliau berkata antara lainnya, program itu menawarkan perkhidmatan penundaan percuma sepanjang masa dan menyediakan perlindungan bagi kerosakan akibat banjir dan kehilangan barangan peribadi disebabkan kejadian pecah masuk kereta atau kenderaan dicuri.

Pelanggan yang berminat membeli insurans motor Perodua Total Protect hanya perlu membayar premium serendah RM206.65 hingga RM873.70 daripada tiga hingga lima tahun.

Perodua bekerjasama dengan 16 panel insurans bagi program itu, termasuk Allianz dan Liberty Insurance. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: