Doa Kamal Buat Emma

Kuala Lumpur: Keadaan pelakon Emma Maembong semakin pulih selepas dimasukkan ke sebuah hospital di sini sejak Ahad lalu akibat jangkitan kuman dalam badan.
Teman lelakinya yang juga pelakon, Kamal Adli berkata, selepas menjalani pembedahan kecil, Emma kini semakin pulih.
“Doktor memaklumkan Emma mungkin ditahan untuk tempoh dua minggu lagi. Emma masih memerlukan rawatan dan pemantauan rapi daripada doktor.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaan kesihatan Emma. Jadi, doakan supaya dia segera sembuh dan kembali menjalani rutin harian seperti biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Kamal yang kini menjalani penggambaran travelog Curi Curi Cuti di Krabi, Thailand berkata, dia terpaksa meraikan sambutan hari jadinya yang ke-31 di hospital bersama kekasihnya itu.

“Hari jadi saya jatuh pada Ahad lalu. Malam itu ketika kami berdua keluar untuk makan malam, tiba-tiba Emma diserang sesak nafas dan saya terus membawanya ke hospital.

“Ketika itu doktor memaklumkan oksigen dalam badannya okay. Namun, hasil pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman dalam badan. Disebabkan itu doktor meminta Emma ditahan diwad untuk rawatan,” katanya.

Sepanjang dirawat di hospital, Emma terpaksa berehat daripada segala aktiviti seni termasuk penggambaran drama bersiri Dia.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *