Asal Skrip Bagus, Hero Bagus

Kali terakhir pelakon berkaliber Datin Umie Aida berlakon ialah menerusi drama Aku Bukan Malaikat kira-kira dua tahun lalu.
Umie kini kembali dengan watak berat dalam telefilem Ana Anak Ibu arahan Ghaz Abu Bakar sempena sambutan Hari Ibu pada 13 Mei ini.
Dalam telefilemitu, Umie bergandingan dengan Putri Balqis, Khir Rahman dan Fauziah Nawi yang bakal bersiaran untuk saluran Astro.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Umi Kalsum Rahmad Ali ini mengakui, dia merindui watak berat yang banyak bermain dengan emosi penonton.

“Saya terima tawaran berlakon dalam telefilem ini kerana tertarik dengan skripnya.

“Saya melakonkan watak seorang ibu memiliki anak pesakit kanser yang perlu menjalani rawatan kemoterapi dan sebagainya.

“Watak ini sangat mencabar kerana saya perlu banyak bermain dengan emosi dalaman seorang ibu yang berendam air mata dan terpaksa merelakan kematian anaknya itu,” katanya.

Umie berkata, dia bertuah kerana bekerjasama dengan kru produksi yang bagus untuk menjayakan drama itu.

“Selain pengarah, Balqis dan Khir sendiri bekerjasama untuk menghidupkan lagi cerita ini seperti dikehendaki skrip,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dirinya semakin ‘demand’, pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil ini menafikannya.

“Saya tidak ‘demand’ sebaliknya memilih skrip dan hero yang nak digandingkan dengan saya.

“Maklumlah, pernah ada pengalaman berlakon dengan pelakon yang tidak menjiwai watak dan ia banyak membuang masa saya di lokasi.

“Jika seseorang pelakon itu tahu tanggungjawabnya, lakonan akan menjadi mudah dan penggambaran juga berjalan lancar.

“Saya sendiri selepas habis penggambaran, akan balik rumah dan buat persediaan dengan membawa skrip dan babak untuk penggambaran keesokan harinya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Umie, dia masih menanti watak berat dalam projek drama atau filem baru pada tahun ini.

“Bukan tiada tawaran berlakon tapi watak ditawarkan tidak menarik. Kalau ada penerbit dan pengarah yang ingin menawarkan berlakon, saya akan terima jika skripnya bagus dan watak berat,” katanya.

Antara drama lain lakonannya ialah drama bersiri Mak Cun musim ketiga yang mula bersiaran semalam (20 April) di TV3. Umie melakonkan watak antagonis Zennat Manisa dalam cerita genre komedi ini.

Anak tidak minat berlakon

Sebagai ibu, Umie sangat bersyukur kerana dapat melihat dua anaknya, Mohd Firdaus, 23, dan Mohd Dzulhelmy, 22, membesar depan mata.

“Alhamdulillah, rumah tangga saya bersama suami, Datuk Khairuddin Abu Hassan bahagia. Sebagai isteri dan ibu, ia pencapaian terbesar apabila dua anak sudah besar dan menamatkan pengajian mereka.

“Anak yang sulung sudah bekerja di bahagian pemasaran di stesen radio, manakala adiknya masih menuntut di kolej,” katanya.

Ditanya mengenai bidang seni, kata Umie, dua anak lelakinya itu tidak minat berlakon.

“Walaupun terdedah dalam bidang lakonan sejak kecil tapi mereka tidak minat berlakon.

“Mereka berlakon dalam teater Mak Cun pun sekadar memenuhi permintaan Erma saja yang memerlukan pelakon tambahan ketika itu,” katanya.Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: