Datuk Seri Tak Mengaku Salah Jadi Ahli Kongsi Gelap

KUALA LUMPUR – Seorang Datuk Seri antara 22 lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 24 Pulau Pinang’.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin secara berasingan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman. 

Tertuduh adalah Datuk Seri Ng Chian Sia, 55; Teh Swee Chin, 31; Bee Hooi Siang, 44; Eee Ching Hock, 47; Jeremy Cheng Yee Fun, 34; Mah Chee Seng, 46; Yeoh Kah Man, 26; Goh Chun Shien, 36; Ng Ah Boey, 37; Yeoh Choon Hin, 37.

Tertuduh lain, Teng Kok Haw, 26; Lim Leong Huat, 27; Chee Chia Heng, 32; Song Wai Hon, 33; Teoh Jong Yow, 36; Yeoh Choon Hong, 45; Lee Chew Hong, 40; Tan Soo Ching, 36; Teh Hang Beng, 38; Tang Soon Poh, 24; Teoh Chin Yeow, 24; dan Teng Kok Loon, 29.

Semua tertuduh dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 24 Pulau Pinang’ di dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang antara 1 Januari 2015 dan 29 Januari 2017.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1), Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut subseksyen sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh dijamin kerana penahanan ke atas mereka dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) 2012. Ab Karim menetapkan pada 4 Mei ini bagi sebutan kes. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *