Pengasas Keluar Parti, PPBM Layu Sebelum Mekar

Kamarulazman Habibur Rahman merupakan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan orang yang paling kuat mempertahankan Mukhriz Mahathir, ketika beliau disingkirkan sebagai Menteri Besar Kedah.

Namun dalam masa beberapa bulan selepas PPBM ditubuhkan, Kamarulazman yang juga ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM, telah mengumumkan beliau melepaskan semua jawatan dalam parti itu.

Ternyata keputusan Kamarulazman itu merupakan satu tamparan kepada PPBM dan ia menunjukkan dengan jelas bahawa parti itu semakin bergolak, umpama layu sebelum mekar.

“Saya mula sedar dalam PPBM seperti ada perbezaan darjat dan kasta. Seseorang ahli akan tinggi darjatnya sekiranya dia merupakan kenalan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung.

“Saya sangat kecewa, golongan yang benar buat kerja dilayan seperti kelas kedua. Belum pun kita bergerak jauh, kita telah mengamalkan sikap pilih kasih dan kronisme yang mendalam,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan perletakan jawatan itu.

Jika dulu ahli-ahlinya bersatu hati menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Mukhriz, namun kini ramai yang mula melarikan diri.

Mereka yang keluar parti ini memberikan punca kronisme dan ‘kasta’ sebagai penyebab mereka berundur. Bukan sahaja Kamarulazman malah baru-baru ini 500 ahli parti itu juga telah membuat keputusan yang sama.

Jika Kamarulazman yang merupakan pengasas parti itu telah mengambil keputusan untuk meletak jawatan, maka tidak mustahil selepas ini makin ramai yang akan berbuat demikian.

Sedari dulu lagi telah diperkatakan bahawa Mahathir menubuhkan PPBM atas agenda peribadi beliau.

Malah tindakannya yang bersekongkol dengan DAP dan menjadi gabungan Pakatan Harapan sememangnya adalah langkah sumbang. Bayangkan pada pilihan raya umum nanti, PPBM terpaksa bersaing dengan Parti Amanah Negara (PAN) untuk mendapatkan kerusi.

DAP dan PKR sudah pasti tidak akan memberikan kerusi kepada PPBM yang masih setahun jagung, jadi bagaimana PPBM mahu mengangkat ahli-ahlinya ke depan, jika kerusi untuk bertanding pun boleh dikira dengan jari.

Kita hanya perlu sediakan `pop corn’ kerana `wayang’ akan bermula. Seperti yang diperkatakan oleh Kamarulazman bahawa setakat malam tadi, 821 orang merancang akan keluar parti. Ia dari seluruh negara tetapi kebanyakannya dari Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: