‘Geng Perawan dan Janda’ ditahan polis

DUA wanita yang ada kaitan dengan ahli kumpulan ‘Geng Perawan dan Janda’ ditahan polis selepas dipercayai menyamun seorang warga emas di Parit Selamat, Yong Peng, Johor, pada 7 April lalu.

Berita Harian melaporkan, kedua-dua suspek iaitu seorang ibu tunggal dan rakannya dipercayai menyamar sebagai jururawat sebelum melarikan barang kemas bernilai RM25,000 milik seorang wanita berusia 63 tahun.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek masing-masing berusia 35 dan 25 tahun itu ditahan di kediaman mereka di Bandar Tenggara, Kulaijaya kira-kira jam 11 malam tadi.

Menurutnya, penahanan kedua-dua wanita itu hasil risikan polis selepas berjaya mengenal pasti nombor pendaftaran kereta yang yang digunakan mereka untuk melakukan jenayah.

“Siasatan mendapati suspek menyuntik mangsa dengan ‘cecair misteri’ hingga membuatkan mangsa khayal sebelum melarikan barang kemasnya.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan kini ditahan reman empat hari mulai hari ini bagi disoal siasat,” katanya.

Abdul Wahib berkata, polis masih mencari saki baki ahli kumpulan tersebut untuk membantu siasatan.

Pada 7 April lalu, Zabaidah Aspan, 63, disamun dua wanita yang mengaku sebagai jururawat dari Klinik Kesihatan Batu Pahat kira-kira jam 1 tengah hari untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Mangsa mempercayai kedua-dua wanita tersebut kerana kebetulan dirinya menghidap penyakit kencing manis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *