22 Dibunuh Dimakam Sufi

ISLAMABAD – Sebanyak 22 orang dibunuh oleh beberapa lelaki bersenjatakan belantan dan pisau di sebuah makam sufi di Pakistan semalam, manakala empat mangsa cedera, kata polis.

Polis berkata, empat wa­nita merupakan antara yang maut dalam serangan di Makam Mohammad Ali, wilayah Punjab.

Polis turut menangkap empat suspek termasuk penjaga makam berkenaan.

“Penjaga makam, Abdul Waheed, 50, mengaku membunuh mereka kerana dia bimbang mereka datang untuk membunuhnya.

“Suspek didapati paranoid dan mengalami kecelaruan mental. Polis juga tidak menolak kejadian ini mungkin mempunyai kaitan dengan persaingan untuk mengawal makam tersebut,” kata ketua polis Punjab, Zulfiqar Hameed kepada agensi berita AFP sambil menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif telah me­minta polis untuk melapor­kan perkembangan kes tersebut dalam tempoh 24 jam.

Amalan mengunjungi ma­kam dan memberi sedekah kepada orang miskin serta menghulurkan wang kepada penjaga makam masih popular di Pakistan.

Ramai penduduk negara itu percaya bahawa amalan tersebut dapat membantu doa mereka dimakbulkan.

Terdapat beberapa kes kematian ketika orang ramai menjalani upacara merawat kerasukan di makam sufi di sekitar Pakistan, namun pembunuhan beramai-ramai seperti ini jarang berlaku.

Sehingga kini, terdapat beberapa juta penduduk Pakistan yang mengikuti ajaran sufi. – AFP/kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *