Peranan Kerajaan Pusat Bantu Kelantan Dihargai – Tengku Faiz Petra

KOTA BHARU – Usaha berterusan kerajaan Persekutuan membawa masuk pelbagai projek pembangunan ke negeri ini mendapat penghargaan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra.

Baginda bertitah, projek-projek tersebut seperti menaik taraf Jalan Pasir Hor – Kadok, pembinaan sebahagian Lebuh Raya Rakyat, projek Bypass Jalan Pasir Mas dan Jejambat Wakaf Bharu bakal memberi banyak manfaat kepada rak­yat.

“Beta juga dimaklumkan cadangan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Projek ini akan dimulakan melalui pengecaman jajaran dan pengambilan balik tanah tahun ini.

“Beta bersyukur jajaran yang bermula di Gombak, Selangor ini akan dipanjangkan sehingga ke Pengkalan Kubor yang terletak di sempadan Kelantan dan Thailand,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 2017 di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.

Tengku Muhammad Fa-Iz Petra dalam pada itu turut menyarankan kerajaan Pas Kelantan supaya mencari jalan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini termasuk menyediakan insentif terbaik.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kerana melaksanakan pelbagai program bagi menarik pelabur.

“Beta difahamkan kerajaan negeri bersama MIDA sedang berbincang dengan pelabur dari China untuk membangunkan industri simen di Gua Musang yang dijangka membawa masuk pelaburan bernilai RM1.5 bilion,” katanya.

Dalam perkembangan lain, baginda bertitah, industri pelanco­ngan perlu diberi perhatian serius lebih-lebih lagi sepanjang tahun lalu, Kelantan berjaya menarik kemasukan 5.8 juta pelancong.

“Adalah menjadi harapan beta supaya industri sokongan seperti kemudahan awam yang sistematik dan cekap dapat disediakan bagi menyokong keperluan kemasukan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjunjung kasih titah Pemangku Raja Kelantan tersebut.

Katanya, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan selama ini berjaya membuahkan hasil yang baik manakala projek ECRL pula bakal merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan sosioekonomi rakyat Kelantan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: