Terengganu Jana Lebih 30,000 Peluang Kerja Hasil Pelaburan Bernilai RM29.4 Bilion

KUALA LUMPUR – Terengganu meraih pelaburan domestik dan asing bernilai RM29.4 bilion bagi tempoh antara 2007 dan 2016, yang kemudiannya menjana lebih 30,000 peluang pekerjaan baharu, menurut Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

ECERDC berkata, prestasi pelaburan kukuh negeri itu dijana oleh sektor pembuatan, yang menyumbang 51.3 peratus daripada pelaburan keseluruhan, diikuti sektor bioekonomi sebanyak 22.6 peratus.

“Transformasi Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) sedang dilaksanakan memandangkan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.

“Jambatan angkat menghubungkan antara Muara Selatan dan Muara Utara KTCC yang bakal menjadi ikon kini berada di landasan yang tepat untuk disiapkan menjelang suku ketiga tahun ini,” kata ECERDC dalam kenyataan di sini, pada Ahad

Menurut ECERDC, kesalinghubungan antara KTCC dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan dipertingkatkan melalui pembinaan laluan baharu dan dinaik taraf sepanjang 6.8 kilometer pada suku kedua 2017.

Selain itu, fasa pertama kerja-kerja pembinaan projek pembangunan bercampur oleh Tiara View Housing Development Sdn Bhd akan bermula pada suku kedua 2018 dan keseluruhan projek dijangka disiap menjelang 2024, dengan lebih 1,500 peluang kerja diwujudkan untuk penduduk tempatan, menurut ECERDC.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata projek oleh Tiara View Housing bernilai RM2.4 bilion itu merangkumi hotel, pangsapuri servis, rumah dan pejabat di bawah satu bumbung (SOHO), pusat beli-belah dan taman tema yang dibangunkan di kawasan seluas 3.8 hektar.

Beliau berkata, selain itu, sehingga kini Taman Biopolimer Kertih (KBP) telah menarik pelaburan RM6.8 bilion manakala Taman Industri Berat Kemaman (KHIP) pula RM5.5 bilion.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pelaksanaan dan penyelarasan ECER negeri Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di sini.

Katanya, projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer juga dijangka mewujudkan lebih banyak pusat pertumbuhan di seluruh negeri di samping merangsang ekonomi dan sektor pelancongan.

“Pelaburan oleh syarikat bumiputera turut menjadi penggerak penting kepada pertumbuhan ekonomi Terengganu yang mana 57 projek bernilai RM3.7 bilion telah menerima sama ada insentif cukai daripada ECERDC, geran Teraju@ECER atau kedua-duanya sekali.

“Daripada jumlah ini, 41 projek bumiputera dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan bernilai RM736.4 juta telah menerima manfaat daripada Dana Mudahcara Teraju@ECER berjumlah RM101.2 juta,” katanya. – Bernama

One thought on “Terengganu Jana Lebih 30,000 Peluang Kerja Hasil Pelaburan Bernilai RM29.4 Bilion

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *