Mosul Dipenuhi Mayat Selepas Diserang Militan IS

MOSUL – Seorang lelaki, Shihab Ayed serta beberapa individu lain dilihat menolak kereta sorong berisi mayat saudara masing-masing yang ditutup dengan selimut, melalui kawasan berlumpur kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka yang musnah di Mosul, Iraq.

Semuanya gara-gara militan Daesh yang melancarkan sera­ngan demi serangan sehingga menjadikan penduduk setempat yang tidak bersalah sebagai mangsa keadaan.

Bagi Shihab, selain anak lelaki tunggalnya yang berusia tiga tahun, dia juga kehilangan isteri tercinta dalam serangan baru-baru ini.

Empat lagi kereta sorong di belakangnya menempatkan beberapa mayat yang mula mengeluarkan bau.

Serangan tersebut mengorbankan 21 ahli keluarga dan jiran Shihab di kawasan yang dikuasai militan Daesh itu.

Dalam penuh kepiluan, Shihab, 40, yang bekerja sebagai buruh, membuka kain selimut yang menutupi tubuh kaku anak tunggal lelakinya, Ahmed.

“Tiga rumah musnah dalam dua serangan udara. Anggota militan Daesh melancarkan serangan dari rumah kami dan jalan raya ketika kami sedang bersembunyi. Kira-kira 15 minit kemudian kami dibedil.

“Kami berjaya menarik keluar beberapa mayat daripada runtuhan dan hari ini kami akan mengebumikan mereka, kemudian saya akan kembali kepada tiga anak perempuan saya,” ujar Shihab sambil mengalirkan air mata.

Katanya, Mosul dipenuhi ma­yat dan hari ini mereka dapat melaksanakan pengebumian selepas pengganas Daesh meninggalkan kawasan itu.

Mereka membawa kereta sorong berkenaan ke Lapangan Terbang Mosul dan berharap ada bas yang akan membawa mereka ke kampung berhampiran untuk mengebumikan mayat-mayat berkenaan. – REUTERS

One thought on “Mosul Dipenuhi Mayat Selepas Diserang Militan IS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *