Masjid India Banjir

KUALA LUMPUR – Hujan lebat melanda ibu negara kira-kira jam 2.30 petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat termasuk di lokasi perniagaan tumpuan dan perumahan.
Antara kawasan terjejas ialah di Bazar Jalan Melayu Masjid India, Lebuh Ampang, Persiaran Ampang Hilir, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang dan Taman Sri Rampai.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, seramai 98 petugas termasuk warden trafik, unit tunda dan skuad penyelamat DBKL terlibat dalam operasi membantu kawasan-kawasan terjejas banjir kilat.
“Terdapat kenderaan yang terkandas di beberapa kawasan terjejas dan dibantu oleh petugas di lapangan.
“Kawasan perniagaan di Masjid India dinaiki air akibat limpahan air Sungai Klang di Stesen LRT Masjid Jamek,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun air mulai surut kira-kira jam 5.30 petang dan kebanyakan kawasan terjejas mulai pulih seperti biasa sejam kemudian.
Sementara itu, di Taman Sri Rampai, banjir kilat yang berlaku adalah kejadian berulang setelah beberapa siri kejadian sejak lebih setahun lalu.
Kerja-kerja projek pembinaan dan naik taraf jalan berhampiran kawasan perumahan itu didakwa antara punca banjir kilat dan lumpur.
Dalam pada itu, info daripada Bilik Gerakan Jabatan Perparitan dan Saliran memaklumkan, punca banjir kilat disebabkan hujan turun sebanyak 60 milimeter selama sejam.
Malah terowong SMART tidak melepaskan air turut menjadi punca.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE
%d bloggers like this: